Antarabangsa
Kanak-kanak Dalit 10 tahun dibunuh, digantung sekumpulan lelaki kasta atasan
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dari kasta Dalit dibunuh dan digantung sekumpulan lelaki dari kasta atasan.
- Gurjeet, 10, ditangkap sekumpulan lelaki ketika sedang bermain di ladang kampungnya di daerah Badaun, Uttar Pradesh, India pada petang Ahad, kemudian dicekik sehingga mati dan digantung pada sebatang pokok.
- Motif pembunuhan akibat pertikaian hartanah.
- Suspek merupakan dari golongan kasta atasan, manakala Gurjeet pula dari golongan Dalit.
- Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dari kasta Dalit dibunuh dan digantung sekumpulan lelaki dari kasta atasan.
Memetik laporan Maktoob Media, dia dibunuh pada Ahad lalu akibat pertikaian pemilikan hartanah di daerah Badaun, Uttar Pradesh, India.
Kanak-kanak itu dikenalpasti sebagai Gurjeet, murid Kelas 3 sekolah rendah (bersamaan darjah 4 di Malaysia).
Gurjeet dilaporkan hilang pada petang Ahad dan mayatnya ditemui tergantung pada pokok di ladang kampung.
Menurut laporan Times of India, Gurjeet sedang bermain di ladang itu sebelum ditangkap sekumpulan lelaki.
Dia kemudian dicekik sehingga mati dan diikat tergantung pada sebatang pokok.
Lelaki-lelaki itu kemudian melarikan diri apabila menyedari kehadiran beberapa penduduk kampung di kawasan itu.
Satu laporan dibuat di balai polis Islam Nagar di bawah seksyen Kanun Keseksaan India kerana membunuh dan di bawah Akta Kasta Terjadual dan Suku Terjadual (Pencegahan Kekejaman).
Datuk kepada Gurjeet, Omkar Singh telah menamakan tiga individu yang merupakan lelaki dari kasta atasan dalam laporan itu.
“Tiga orang yang dinamakan itu didakwa menceroboh beberapa tanah. Difahamkan, bapa kanak-kanak itu, Name Singh yang tidak berjaya dalam pemilihan ketua kampung, telah membantu orang-orang yang tanahnya diceroboh oleh tertuduh, dan pembunuhan didakwa akibat permusuhan atas pertikaian tanah ini,” kata Superintenden Polis Tambahan (luar bandar) Badaun, Siddharth Verma.
Polis mengenal pasti ketiga-tiga tertuduh sebagai Matru Singh, Munesh Singh dan Sher Singh. Ketiga-tiganya masih melarikan diri.
Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Dalit dilarang melakukan pekerjaan, kecuali pekerjaan yang dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak bermaruah’ bagi masyarakat kasta tinggi seperti kerja pembersihan, kutip sampah dan buruh binaan.
Sistem kasta di India dilaporkan dimansuhkan pada 1950-an tetapi sistem hieraki sosial berusia 2,000 tahun itu, yang menetapkan kedudukan individu berdasarkan keturunan kelahirannya, masih wujud dalam kehidupan harian masyarakat Hindu di India.
Sumber: Maktoob Media, Times of India