Terkini
Al-Azhar Mesir seru boikot produk Sweden dan Belanda
Institusi pendidikan Islam paling berprestij di dunia, Universiti Al-Azhar Mesir menyeru umat islam untuk boikot produk keluaran Sweden..

- Universiti Al-Azhar Mesir menyeru umat islam untuk boikot produk keluaran Sweden dan Belanda susulan insiden memusnahkan al-Quran di Belanda baru-baru ini.
- Al-Azhar juga menggesa tindak balas sewajarnya dikenakan terhadap kerajaan kedua-dua negara berkenaan yang dipercayai melindungi jenayah keji dan tindakan biadab dan menggunakan nama kebebasan bersuara.
KAHERAH: Institusi pendidikan Islam paling berprestij di dunia, Universiti Al-Azhar Mesir menyeru umat islam untuk boikot produk keluaran Sweden dan Belanda susulan insiden tunjuk perasaan yang memusnahkan al-Quran di Belanda baru-baru ini.
Al-Azhar juga menggesa tindak balas sewajarnya perlu dikenakan terhadap kerajaan kedua-dua negara berkenaan yang dipercayai melindungi jenayah keji dan tindakan biadab dan menggunakan nama kebebasan bersuara.
Ahli politik haluan kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan Sabtu lalu bertindak membakar salinan al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye di Stockholm.
Insiden berkenaan sekali gus meningkatkan ketegangan ketika Sweden membicarakan Ankara berhubung usahanya untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Ketua Kumpulan Pelampau Belanda, Pegida Edwin Wagensveld bertindak mengoyakkan al-Quran ketika melakukan protes di luar Parlimen di The Hague, Belanda.
Beberapa gambar di media sosial juga menunjukkan Wagensveld berjalan dengan memijak al-Quran yang sudah koyak.
Insiden berkenaan telah mencetuskan protes di Ankara dan demonstrasi di beberapa ibu kota dunia Islam termasuk di Afghanistan, Iraq, Pakistan, Syria dan Yaman.
Kementerian Luar Mesir mengutuk sekeras-kerasnya insiden pembakaran al-Quran dan menyatakan kebimbangan terhadap berulangnya peristiwa sedemikian serta peningkatan Islamofobia baru-baru ini di beberapa negara Eropah.
Sementara itu, Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson mengecam tindakan Rasmus Paludan sebagai tidak menghormati, manakala Amerika Syarikat (AS) menyebut perkara berkenaan sebagai menjijikan.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price Isnin lalu berkata, kejadian pembakaran itu adalah kerja seorang provokator yang mungkin sengaja berusaha untuk merenggangkan hubungan antara dua rakan kongsi rapat iaitu Turkiye dan Sweden.
Kelmarin, Turkiye menangguhkan rundingan keanggotaan NATO dengan Sweden dan Finland selepas Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengecam Stockholm kerana membenarkan protes berkenaan berlaku termasuk kejadian pembakaran al-Quran. – AFP
Sumber: Berita Harian
