Connect with us

Terkini

Kuota anak muda Cina dirampas jika UEC diiktiraf

Kuota penempatan anak-anak Cina aliran kebangsaan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mungkin akan dirampas sekiranya sijil Unified Examination Certificate (UEC) diiktiraf kerajaan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Rasyidah Zulkifli

Published

on

Kuota anak muda Cina dirampas jika UEC diiktiraf
Foto: Dr Teo Kok Seong
  • Kuota penempatan anak-anak Cina aliran kebangsaan di IPTA mungkin dirampas sekiranya sijil UEC diiktiraf dalam Kerajaan Perpaduan ini.
  • Felo Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Dr Teo Kok Seong berkata pengiktirafan itu sepatutnya tidak berlaku dalam landskap pendidikan negara kita.
  • “Lepasan UEC ini sebenarnya akan mengambil kuota anak-anak Cina yang setia dalam sistem (aliran kebangsaan). Maka, itu tidak adil,” katanya.
  • Beliau berkata apa yang menjadi isu adalah desakan Dong Zong yang memaksa kerajaan mengiktiraf UEC.
  • Ketaksuban Dong Zong dalam Bahasa Cina membuatkan pertubuhan itu tidak patuh kepada aliran kebangsaan.

KUALA LUMPUR – Kuota penempatan anak-anak Cina aliran kebangsaan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mungkin akan dirampas sekiranya sijil Unified Examination Certificate (UEC) diiktiraf kerajaan.

Felo Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Dr Teo Kok Seong berkata pengiktirafan itu sepatutnya tidak berlaku dalam landskap pendidikan negara kita.

“Lepasan UEC ini sebenarnya akan mengambil kuota anak-anak Cina yang setia dalam sistem (aliran kebangsaan). Maka, itu tidak adil. 

“Merujuk statistik, kuota pengambilan pelajar kolej matrikulasi adalah 90 peratus untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera masih dikekalkan. 

“Ini bermakna hanya terdapat 25,000 pengambilan setiap tahun, jadi dasar semasa adalah 22,500 untuk pelajar bumiputera dan 2,500 untuk bukan bumiputera. 

“Bagi saya tidak mengapa mereka hendak belajar di sekolah persendirian Cina sebab negara kita mengamalkan demokrasi dan dasar pendidikan bebas.

“Namun, yang menjadi isu, mengapa mesti hendak memaksa kerajaan terima mereka di dalam IPTA seperti universiti-universiti awam,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu pengiktirafan UEC yang semakin hangat di negara ini selepas Dong Zong mendesak kerajaan mengiktiraf sijil berkenaan.

Kok Seong berkata tindakan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) adalah “rakus” seperti mana menghiasi dada akhbar sejak akhir-akhir ini.

“Dong Zong hendak untung sepanjang jalan iaitu sekolah menengah yang sepatutnya mereka peroleh pendidikan dalam Bahasa Melayu, tetapi ditolak. 

“Mereka taasub dalam bahasa Cina, ke sekolah persendirian Cina. Bagi saya tak mengapa tapi setelah tamat Sijil UEC, jangan paksa supaya diterima oleh kerajaan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan sukatan pelajaran UEC ini dikendalikan dalam bahasa Cina dan terdapat juga campuran Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris, namun tiada langsung Bahasa Melayu. 

“Jadi jawapannya, ya Dong Zong tidak yakin dengan sistem pendidikan aliran kebangsaan di negara kita,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, isu desakan Dong Zong perlu dimuktamadkan dan dinoktahkan segera dengan perbincangan atas pertimbangan pendidikan.

“Semua sekolah ini diakui dalam negara kita sebagai institusi pendidikan tinggi swasta dan mereka berada dalam jalur swasta.

“Mengapa di penghujung jalur swasta perlu mendesak terima mereka ke dalam sektor kerajaan,” katanya.

Beliau berkata sudah dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996 bahawa 60 sekolah persendirian Cina yang menawarkan UEC di Malaysia adalah IPTS. 

“Jadi jelas sekali, mereka bergerak dalam jalur swasta dan tidak boleh campur aduk swasta dengan kerajaan. 

“Sebab itulah kita perlu berbincang, jangan keputusan UEC dibuat dengan mengambil kira pertimbangan politik. 

“Sekarang yang kita nampak ini, manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang berjanji untuk iktiraf UEC,” katanya sambil mengecualikan manifesto Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, PN tidak berbuat demikian kerana ia merupakan parti orang Melayu yang tidak mengharapkan sokongan daripada kaum Cina.

“Pendidikan itu jelas hala tujunya dalam Akta Pendidikan 1996, jadi tidak perlu lagi hendak seleweng dengan pengiktirafan UEC. Tak boleh langsung,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Faisal Mohamed Fiah menyeru kaum Cina untuk berbalik kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Kerajaan mahu melahirkan rakyat yang majmuk, memahami dan ada kecintaan kepada negara. Bukannya duduk di Malaysia tetapi sibuk dengan negara lain.

“Saya tidak setuju berhubung isu UEC sejak dari dulu lagi bukan soal isu perkauman, tetapi sebab kita hidup sebagai rakyat berbilang bangsa. 

“Kita perlu ada persetujuan bersama dalam konteks ini. Semua orang belajar Sejarah peradaban pelbagai tamadun termasuk India dan Cina,” katanya. – The Merdeka Times

Author