Connect with us

Terkini

Menentang Laporan Rahman Talib, pengasas Dong Zong dilucut taraf kewarganegaraan

Dong Zong pada masa kini sering dikaitkan dengan masyarakat Tiong Hua dan tidak lari dengan isu sijil Unified Examination Certificate (UEC).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Rasyidah Zulkifli

Published

on

Menentang Laporan Rahman Talib, pengasas Dong Zong dilucut taraf kewarganegaraan
Foto: Lim Lian Geok
  • Pengasas Dong Zong, Lim Lian Geok mendapat taraf kewarganegaraan pada September 1951 dan menubuhkan Dong Zong pada 1954.
  • Pertubuhan ini bertujuan memperjuangkan hak-hak kaum Cina dengan kerjasama erat Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).
  • Pada 1954, Lian Geok mengemukakan memorandum kepada Presiden Persidangan PBB yang melawat Tanah Melayu agar Ordinan Pelajaran 1952 dimansuhkan.
  • Taraf kerakyatan dan tauliah mengajarnya ditarik balik pada 1961 kerana menentang Laporan Rahman Talib 1961.
  • Akhirnya, mendiang menghembuskan nafas terakhir tanpa taraf kewarganegaraan dan hingga kini perjuangan Dong Zong masih diteruskan oleh Leong Seng Yee.

Dong Zong pada masa kini sering dikaitkan dengan masyarakat Tiong Hua dan tidak lari dengan isu sijil Unified Examination Certificate (UEC).

Namun tahukah anda pengasas pertubuhan ini pada asalnya bukanlah anak kelahiran Tanah Melayu.

Lim Lian Geok dilahirkan pada 19 Ogos 1901 di Fujian, China dan berasal daripada keluarga cendekiawan sebelum berhijrah ke Tanah Melayu.

Dia mula menjadi guru di Sekolah Cina Confucian di Kuala Lumpur pada 1935 hingga 1961.

Dia cukup aktif dalam gerakan mempertahankan pendidikan Cina di Tanah Melayu, tambahan lagi setelah mendapat taraf kewarganegaraan pada September 1951.

Pada 22 Ogos 1954, Lian Geok menubuhkan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan turut bekerjasama erat dengan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dalam memperjuangkan hak-hak kaum Cina. 

Kedua-duanya merupakan peneraju dalam pendidikan Cina yang dikenali sebagai “Dong Jiao Zong” dan dikekalkan hingga ke hari ini.

Pada 1954, Lian Geok mengemukakan memorandum kepada Presiden Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melawat Tanah Melayu ketika itu agar Ordinan Pelajaran 1952 dimansuhkan.

Melalui pertubuhan Jiao Zong, kandungan memorandum itu meminta agar bahasa Melayu, Cina dan Tamil digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah.

Baginya, bahasa Cina patut diangkat sama taraf dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi demi membalas ketaatan masyarakat Tiong Hua itu kepada negara.

Jadi, Lian Geok menjalankan kempen kerana dia percaya itu merupakan cara untuk mempertahankan status pendidikan Cina dengan menuntut kedudukan sah bahasa itu sendiri.

Pengasas Dong Zong itu pernah membantah Laporan Rahman Talib 1961 yang ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. 

Tidak terhenti setakat itu, dia juga menyeru sekolah menengah Cina supaya tidak akur dengan laporan itu kerana berpendapat sekolah Cina sudah memenuhi tanggungjawab mereka kepada negara.

Akibatnya, taraf kerakyatan Lian Geok dilucutkan oleh kerajaan Malaya pada 12 Ogos 1961, manakala tauliah mengajar ditarik balik pada 19 Ogos 1961 kerana menentang Laporan Rahman Talib 1961.

Mendiang akhirnya menghembuskan nafas terakhir tanpa taraf kewarganegaraan pada 18 Disember 1985 ketika berusia 84 tahun.

Sehingga kini perjuangan Dong Zong masih diteruskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dong Zong, Leong Seng Yee.

Buktinya, sijil UEC diiktiraf sejak zaman kegemilangan parti Barisan Nasional (BN) di bawah tampuk pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.

Malah, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming pernah mengugut pada 2020 untuk keluar daripada parti Pakatan Harapan (PH) sekiranya kerajaan enggan mengiktiraf sijil tersebut.

Hari ini UEC diiktiraf untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Cina) di Institut Pendidikan Guru Malaysia dan universiti-universiti swasta.

Selain itu, sijil itu juga menjadi syarat kelayakan permohonan program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI).

Bagaimanapun, UEC masih belum diiktiraf untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan.

Sumber: Dong Zong, Sos Cili, The Patriots, MalaysiaKini

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *