Terkini
Janji iktiraf UEC, tindakan politik sempit – Datuk Dr Teo Kok Seong
Mana-mana parti politik menjanjikan akan mengiktiraf sijil UEC disifatkan sebagai tindakan politik sempit dan rakus tanpa memikirkan tentang negara serta kesan pengiktirafan itu kepada generasi akan datang.

- “Ia terang-terangan institusi pendidikan swasta. Kalau kita bertindak untuk negara itu hujah yang kuat. Maknanya; ‘minta maaf tak boleh dipertimbangkan sebab UEC dikendalikan sekolah persendirian dibawah institusi pendidikan swasta. Jadi tak boleh campur-adukkan dengan institusi pendidikan kerajaan’.
- “Tapi itulah politik kita politik sempit. Politik sempit ini pentingkan diri sendiri, keduanya pentingkan parti politik dan ketiga survivor kerajaan mereka tubuhkan, jadikan mereka rakus.
- “Mereka memikir tentang diri mereka sahaja tanpa memikirkan tentang negara dan kesannya kepada generasi akan datang.”
KUALA LUMPUR – Mana-mana parti politik menjanjikan akan mengiktiraf sijil UEC disifatkan sebagai tindakan politik sempit dan rakus tanpa memikirkan tentang negara serta kesan pengiktirafan itu kepada generasi akan datang.
Felo Majlis Profesor Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata sudah jelas UEC tidak boleh disokong oleh mana-mana kerajaan kerana ia bukan sebahagian daripada institusi pendidikan kerajaan.
Beliau merujuk kepada Akta Pendidikan 1996 Bahagian 16 berkata, pendidikan di dalam Malaysia terbahagi kepada institusi pendidikan kerajaan, institusi pendidikan bantuan kerajaan dan institusi pendidikan swasta.
Katanya, UEC ditawarkan 60 buah sekolah persendirian Cina di seluruh Malaysia itu terletak dibawah institusi pendidikan swasta.
“Ia terang-terangan institusi pendidikan swasta. Kalau kita bertindak untuk negara itulah hujah yang kuat. Maknanya; ‘minta maaf tak boleh dipertimbangkan sebab UEC ini dikendalikan sekolah persendirian dibawah institusi pendidikan swasta. Jadi tak boleh nak campur-adukkan dengan institusi pendidikan kerajaan’.
“Tapi itulah politik kita politik sempit. Politik sempit ini pentingkan diri sendiri, keduanya pentingkan parti politik dan ketiga survivor kerajaan mereka tubuhkan, jadikan mereka rakus.
“Mereka memikir tentang diri mereka sahaja tanpa memikirkan tentang negara dan kesannya kepada generasi akan datang.
“Sepatutnya mereka mengimbangi di antara politik sempit dan politik lawas (luas) iaitu mengambil kira negara, generasi akan datang bukan semata-mata pilihan raya seperti yang berlaku sekarang,” kata beliau ketika mengulas berkenaan janji ditawarkan PH dalam PRU15 yang akan meneruskan usaha mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki IPTA.
Pada masa sama, beliau turut menjangkakan gabungan parti politik lain seperti BN, PN akan turut menawarkan janji yang sama seiring dengan PH namun bukan Gerakan Tanah Air (GTA) kerana gabungan parti itu dipenuhi parti Melayu-Islam.
Ini berikutan, parti gabungan tersebut mempunyai gabungan parti politik Cina iaitu PN ada GERAKAN; PH ada DAP; BN ada MCA; dan GPS ada SUPP.
Justeru, bagi memastikan kelangsungan parti Cina ini gabungan parti itu akan memperjuangkan UEC selain sekolah vernakular kerana ia dekat dengan hati Cina sekaligus dapat meraih sokongan kaum tersebut.
Tambahnya, perkara pertama dituntut kaum Cina adalah pendidikan Cina sebelum ekonomi.
“Orang mengantuk disorong bantal maka jadilah,” kata beliau yang berterusan mengatakan bahawa angkara politik sempit sedemikian juga negara akan berdepan kerugian.
Bagaimanapun katanya, mana-mana parti politik khususnya parti politik Melayu di mana sebelum ini telah menjanjika mengiktiraf sijil UEC ketika memenangi PRU pasti pada akhirnya akan ‘bersilat’ daripada menunaikan janji tersebut ekoran mereka juga sebetulnya tidak menyukai UEC.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa para pelajar yang sudah menamatkan pengajian di sekolah rendah dan menengah persendirian Cina pada akhirnya ingin memasuki institusi pendidikan kerajaan dan menuntut sijil UEC diiktiraf sedangkan mereka boleh teruskan dalam institusi pendidikan swasta.
“Pelajar UEC ini majoritinya pelajar Sains tak ada aliran Sastera jadi mereka nak sangat masuk ke IPTA dan UEC diiktiraf supaya mereka boleh masuk ke fakulti perubatan, fakulti pergigian, fakulti farmasi, fakulti kejuruteraan di mana yurannya cukup murah.
“Kalau belajar perubatan di UKM sepanjang lima tahun ini yurannya dalam 30 ribu sahaja sementara kalau belajar di International Medical University di Bukit Jalil itu setengah juta pun tak cukup lagi.”
“Jadi mereka rakuslah. Mereka nak untung sepanjang masa. Pendidikan itu mereka nak dalam bahasa Cina di sekolah menengah itu tak apalah. Itu pilihan mereka dan kita benarkan tetapi mengapa di penghujung itu mereka nak masuk juga dalam IPTA ini sebab rakus, yuran yang murah dan sebagainya jadi saya kira tak adillah,” katanya pada Khamis kepada The Merdeka Times.
Justeru beliau berpandangan jika kerajaan bertindak mengiktiraf sijil UEC, ia umpama satu isyarat bahawa anak bangsa kita tidak perlu setia kepada sistem pendidikan negara kerana pada penghujungnya mereka tetap boleh masuk ke IPTA.
Tambahnya, tidak sepatutnya isu pengiktirafan sijil UEC ini timbul terutamanya daripada masyarakat Cina yang tak sepatutnya menuntut kerana mereka harus faham dan berterima kasih ekoran telah diberi peluang untuk belajar dalam bahasa Cina sepenuhnya dan tidak menggunakan kokurikulum dan sukatan pembelajaran yang nasional sifatnya. – The Merdeka Times
