Antarabangsa
Terus tawar perlindungan kepada pelarian Myanmar, jangan paksa mereka pulang – PBB
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa jiran Myanmar untuk menghentikan pemulangan paksa warga negara itu atas alasan ‘banyak nyawa diletakkan dalam risiko’.
- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gesa jiran Myanmar hentikan pemulangan paksa warga negara itu.
- Agensi UNHCR gesa pemulangan warga itu yang mencari keselamatan daripada bahaya serius.
- “Kami mengulangi gesaan kami kepada negara lain untuk terus menawarkan perlindungan kepada warga Myanmar yang melarikan diri demi keselamatan,” – UNHCR.
GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa jiran Myanmar untuk menghentikan pemulangan paksa warga negara itu atas alasan ‘banyak nyawa diletakkan dalam risiko’.
Agensi Pesuruhjaya Tinggi PBB mengenai Pelarian (UNHCR) berkata pihaknya amat prihatin terhadap pelbagai laporan mengenai pemulangan secara paksa pelarian dan pencari suaka, sejak Februari 2021 dari negara jiran Myanmar.
Agensi itu ‘segera merayu kepada negara di rantau itu untuk segera menghentikan pemulangan paksa warga Myanmar yang mencari keselamatan daripada bahaya serius’.
“Kami mengulangi gesaan kami kepada negara lain untuk terus menawarkan perlindungan kepada warga Myanmar yang melarikan diri demi keselamatan.
“Ini juga termasuk menamatkan amalan penahanan tanpa had pemohon suaka dan pelarian dari Myanmar,” kata Penolong Pesuruhjaya Tinggi UNHCR bagi perlindungan, Gillian Triggs.
Negara Asia Tenggara itu bergolak sejak rampasan kuasa tentera tahun lalu, dengan pertempuran berleluasa di sebahagian besar negara itu.
Lebih 2,300 orang terbunuh akibat tindakan keras tentera terhadap perbezaan pendapat sejak rampasan kuasa.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, kekejaman yang berlaku termasuk pemusnahan kampung, pembunuhan besar-besaran dan serangan udara ke atas orang awam.
Junta tentera Myanmar menyalahkan pejuang anti-rampasan kuasa atas kematian hampir 3,900 orang awam.
Triggs berkata keganasan itu mendorong orang ramai melarikan diri dan mereka harus dibenarkan mencari suaka di luar negara serta dilindungi daripada penghantaran pulang secara paksa.
Sumber: Berita Harian