Antarabangsa
Tamatkan segera pembunuhan beramai-ramai etnik Uyghur di China! – WUC
Kongres Uyghur Sedunia (WUC) menggesa Setiausaha Agung Parti Komunis China (PKC), Xi Jinping untuk menamatkan segera dasar pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Uyghur dan Turki di republik itu.

- Kongres Uyghur Sedunia (WUC) gesa Setiausaha Agung Parti Komunis China (PKC), Xi Jinping menamatkan dasar pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat Uyghur dan Turki di China.
- Berjuta-juta etnik Uyghur ditahan sewenang-wenangnya di kem tahanan, mereka diseksa, berdepan keganasan seksual dan jantina, kekurangan zat makanan serta tidak mempunyai akses kepada infrastruktur sanitari.
- Masyarakat Uyghur terus derita akibat buruh paksa, dasar pencegahan kelahiran, pemisahan keluarga, kemusnahan tapak serta bangunan budaya dan agama.
Kongres Uyghur Sedunia (WUC) menggesa Setiausaha Agung Parti Komunis China (PKC), Xi Jinping untuk menamatkan segera dasar pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Uyghur dan Turki di republik itu.
WUC dalam kenyataannya 15 Oktober lalu berkata, tiada siapa dapat menjangkakan penderitaan yang akan menimpa etnik Ugyhur sewaktu Xi Jinping memulakan penggal pertamanya sebagai Setiausaha Agung PKC sedekad yang lalu.
“Dalam sepuluh tahun di bawah kepimpinannya, Kerajaan China mengatur dan melaksanakan dasar penindasan terhadap etnik Uyghur dan etnik Turki lain di Turkistan Timur yang kini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai,” kata Presiden WUC, Dolkun Isa ketika Xi Jinping bersedia mengekalkan jawatannya di PKC bagi penggal ketiga.
Sepanjang dua penggal terakhir Xi Jinping, berjuta-juta etnik Uyghur ditahan sewenang-wenangnya di kem tahanan di mana mereka diseksa, berhadapan keganasan seksual dan jantina, kekurangan zat makanan serta tidak mempunyai akses kepada infrastruktur sanitari.
“Secara keseluruhan di Turkistan Timur masyarakat Uyghur terus menderita akibat buruh paksa, dasar pencegahan kelahiran, pemisahan keluarga, dan kemusnahan tapak dan bangunan budaya dan agama.
“Malah dalam beberapa bulan terakhir, penindasan di Turkistan Timur tidak menunjukkan tanda-tanda ianya akan berhenti.
“Sekatan yang sangat keras menyebabkan ramai masyarakat Uyghur terjejas tanpa sumber keperluan seperti makanan dan ubat-ubatan, hingga etnik Uyghur perlu menggunakan media sosial untuk merayu bantuan,” kata kenyataan itu.
Dilaporkan lebih 20 etnik Uyghur meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan bantuan perubatan.
WUC berkata dasar genosid PKC memberi kesan buruk kepada masa depan etnik Uyghur.
Selain daripada trauma transgenerasi yang teruk, statistik tentang kadar kelahiran Uyghur menunjukkan berjuta-juta kelahiran etnik Uyghur akan dihalang dalam dua dekad akan datang.
Dasar Xi Jinping juga menyebabkan hubungan antara China dan negara lain di seluruh dunia menjadi renggang, kata kenyataan itu.
Ini berikutan dunia hari ini semakin lantang menentang jenayah kekejaman dan melaksanakan dasar untuk meminta Kerajaan China bertanggungjawab.
WUC berkata langkah sebegini bukan sahaja secara langsung akan merugikan pihak yang bertanggungjawab, malah ia akan memberi kesan kepada masyarakat cina secara keseluruhannya.
WUC menyeru pembaharuan dalam PKC iaitu segera menamatkan kekejaman ini, membebaskan tanpa syarat semua individu yang ditahan sewenang-wenangnya dan merombak sistem buruh paksa di Turkistan Timur.
Sumber : Uyghur Congress

You must be logged in to post a comment Login