Terkini
Dakwaan DAP mahu tutup JAKIM, tukar agama rasmi Malaysia tidak benar – Mat Sabu
Rakyat masih kurang faham betapa berleluasanya rasuah di negara ini, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu. Beliau berkata, apabila Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 2018, beliau terkejut apabila mendapati amalan rasuah yang berakar umbi selama 60 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah.

- Banyak parti Melayu cenderung timbulkan isu perkauman dan agama untuk mengkritik seteru politik dan buat dakwaan tidak berasas.
- Menurutnya, dakwaan DAP rancang tutup Jakim dan tukar agama rasmi Malaysia tidak benar sebaliknya dalam perjanjian, DAP akui Perlembagaan Persekutuan.
- Kelebihan PH PRU15 ialah sokongan majmuk daripada rakyat yang dapat ditariknya.
- “Tidak banyak gabungan mampu dapat sokongan daripada semua komuniti.” – Pengarah Pilihan Raya DAP Liew Chin Tong
PETALING JAYA – Rakyat masih kurang faham betapa berleluasanya rasuah di negara ini, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Beliau berkata, apabila Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 2018, beliau terkejut apabila mendapati amalan rasuah yang berakar umbi selama 60 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah.
“Pada 2018 (PH) berpeluang memerintah, saya terkejut apabila siasat (dakwaan rasuah), dapat tahu apa yang lebih buruk daripada yang kita dengar,” kata bekas menteri pertahanan itu di sebuah ceramah di Johor malam tadi.
“Skandal kapal tempur pesisir (LCS), sepatutnya terima kapal pada Mei, (sampai sekarang) satu biji tak siap.
“Apabila rasuah berleluasa, (rakyat) akan menderita dan susah.”
Projek LCS itu mencuri perhatian selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporan terperinci pada Ogos, yang antara lainnya mendapati tiada satu kapal pun disiapkan walaupun setelah Putrajaya membelanjakan RM6 bilion.
Mohamad, atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu, juga berkata banyak parti Melayu cenderung menimbulkan isu perkauman dan agama untuk mengkritik seteru politik mereka dan membuat dakwaan tidak berasas.
Beliau memetik dakwaan bahawa DAP merancang untuk menutup Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menukar agama rasmi Malaysia sebagai contoh, yang menurutnya tidak benar.
“Dalam perjanjian, DAP mengakui Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Secara berasingan, Pengarah Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan mengkritik Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana mendakwa DAP “pro-komunis”.
Beliau berkata, jika Hadi atau pihaknya percaya dakwaan itu benar, mereka harus menyiasat DAP.
“Ramai dalam kerajaan hanya pentingkan guna (isu) kaum dan agama (untuk memburukkan parti lain) kerana mereka tiada isu lain untuk diperkatakan,” katanya.
Hadi sebelum ini dalam ciapan di Twitter berkata, DAP harus ditentang kerana ia “pro-komunis”. Tambahnya, komunis “mengganas lebih melampau daripada penjajah yang beragama Kristian dan Yahudi”.
Pada ceramah sama malam tadi, Pengarah Pilihan Raya DAP Liew Chin Tong berkata, kelebihan PH pada pilihan raya umum akan datang (PRU15) ialah sokongan majmuk daripada rakyat yang dapat ditariknya.
“PH mendapat sokongan daripada kaum Cina, India, Melayu dan rakyat Sarawak dan Sabah,” katanya.
“Tidak banyak gabungan yang mampu dapat sokongan daripada semua komuniti.”
Sumber: Free Malaysia Today

You must be logged in to post a comment Login