Terkini
‘Calon atas 70 tahun, terpalit kes janganlah bertanding PRU15’
Suka ataupun tidak, hakikatnya tiada parti politik yang boleh menang bersendirian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Ridhuan Tee ingatkan pemimpin UMNO terpalit, sama ada telah terbukti, sedang dibicarakan, sudah dibuktikan atau belum, jangan bertanding dalam PRU15.
- “Risikonya amat tinggi untuk menang. Katakanlah jika menang, ditakdirkan dibuktikan bersalah nanti, sudah tentu kelayakan sebagai wakil rakyat akan hilang. Akan berlaku pilihan raya kecil pula.”
- “Calon sudah melepasi umur 70 tahun, cukuplah. Bagilah muka baharu, takut-takut nanti, selepas menang, meninggal pula, pilihan raya kecil lagi.” – pemerhati politik
- Mana-mana parti politik Melayu Islam jangan memusuhi parti sesama saudara dan seagama, sebaliknya cuba bersangka baik dan berhikmah.
BANGI, 27 Rabiulawal 1444H, Isnin – Suka ataupun tidak, hakikatnya tiada parti politik yang boleh menang bersendirian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bahkan tahap keyakinan tinggi mana sekalipun, setiap parti memerlukan parti yang lain.
Justeru, pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengingatkan mana-mana parti politik Melayu Islam tidak terlalu memusuhi parti sesama saudara dan seagama, sebaliknya cuba bersangka baik dan berhikmah.
“Ingatan saya kepada UMNO dan PAS, berhentilah menyerang antara satu sama lain. Siapa musuh sebenar? Jika musuh sebenar itu adalah PH, serang PH, tak payahlah serang sesama sendiri.
“Buatlah strategi. Ingat, kamu semua ini sebangsa seagama, satu kiblat. Jauh macam mana pun, buat haji dan umrah, bertembung juga.
“Sama jugalah dengan PAS, Bersatu dan GTA, musuh sebenar ini siapa. Jika bukan UMNO, maknanya PH. Fokuslah serang PH. PH bertubi-tubi menyerangkan musuh mereka. Pelik UMNO, PAS dan GTA menyerang sesama sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta UMNO meletakkan kepentingan diri di tepi dan mula berfikir untuk agama, bangsa dan negara.
“Sekarang bukan macam dulu, boleh sorok-sorok pekung. Hari ini pekung semua orang dah tahu. Mereka akan bertindak melalui undi,” katanya.
Pada masa sama, Ridhuan Tee mengingatkan pemimpin UMNO yang terpalit, sama ada telah terbukti, sedang dibicarakan, sudah dibuktikan atau belum, janganlah bertanding dalam PRU15.
“Risikonya amat tinggi untuk menang. Katakanlah jika menang, ditakdirkan dibuktikan bersalah nanti, sudah tentu kelayakan sebagai wakil rakyat akan hilang. Akan berlaku pilihan raya kecil pula.
“Begitu juga calon yang sudah melepasi umur 70 tahun, cukuplah. Bagilah muka baharu, takut-takut nanti, selepas menang, meninggal pula, pilihan raya kecil lagi,” katanya.
Sumber: Ismaweb

You must be logged in to post a comment Login