Terkini
Anwar Ibrahim pilih Tambun
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

- Keputusan Presiden PKR itu menyaksikan beliau mungkin bertembung dengan penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, jika Timbalan Presiden BERSATU itu mempertahan kerusi berkenaan pada PRU15.
- “Saya bukan tawan kerusi yang mudah, tapi saya mahu Perak bersama diangkat martabatnya. Perak akan menjadi barisan hadapan perjuangan dalam PRU kali ini. Sebab itu saya akan berlabuh di Tambun.” – Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Parlimen Tambun dipilih kerana itu bukan kerusi PH, selain mahu melonjakkan gerakan gabungan itu di utara.
IPOH – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengumuman itu sekali gus mengesahkan khabar angin mengatakan beliau akan meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandangnya ketika ini, selepas menang besar dengan majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada Oktober 2018.
Keputusan Presiden PKR itu untuk bertanding di Parlimen Tambun menyaksikan beliau mungkin bertembung dengan penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, jika Timbalan Presiden BERSATU itu mempertahan kerusi berkenaan pada PRU15.
Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.
Dalam pengumumannya ketika berucap di Konvensyen PH, Anwar memaklumkan beliau memilih Parlimen Tambun kerana mahu menjadikan Perak sebagai negeri barisan hadapan bagi gabungan itu.
Selain itu, beliau juga mahu memastikan Perak dapat mengekori PH di Selangor dan Pulau Pinang yang berjaya mempertahan negeri itu dengan majoriti yang semakin mengukuh dalam beberapa PRU sebelum ini.
“Saya mahu Perak bersama. Saya akan terjun dalam politik di Perak. Saya belajar daripada pengalaman Lim Kit Siang. Saya tidak memilih kawasan mudah yang menjanjikan majoriti besar.
“Saya ketua. Saya mengepalai dan berani untuk merempuh dan tawan Tambun dalam pilihan raya ini. Saya mahu rakan di Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor melihat keyakinan kita.
“Saya bukan tawan kerusi yang mudah, tapi saya mahu Perak bersama diangkat martabatnya. Perak akan menjadi barisan hadapan perjuangan dalam PRU kali ini. Sebab itu saya akan berlabuh di Tambun,” katanya, disambut sorakan lebih 7,000 perwakilan PH.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Anwar menjelaskan Parlimen Tambun dipilih kerana itu bukan kerusi PH, selain mahu melonjakkan gerakan gabungan itu di utara.
“Pertamanya ini bukan kerusi PH. Kedua, saya rasa bertanggungjawab untuk melonjakkan gerakan di utara, termasuk di Perak dan selatan Kedah, dan meneruskan pencapaian (PH) Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor,” katanya.
Sumber : Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login