Terkini
Ujian saringan HIV pra-perkahwinan diwajibkan, demi jaga keturunan – Senator Datuk Seri Dr Zulkifli
“Apabila seseorang tidak mengambil langkah yang disyorkan pemerintah mengenai penularan HIV / AIDS, ini bererti mereka dengan sengaja telah mendedahkan diri dan orang lain kepada kemudaratan.”

- “Apabila seseorang tidak mengambil langkah disyorkan pemerintah mengenai penularan HIV / AIDS, ini bererti mereka sengaja mendedahkan diri dan orang lain kepada kemudaratan.”
- Ujian itu dibolehkan bahkan jadi kemestian jika diputuskan pihak pemerintah atau badan berautoriti.
- Tindakan pemerintah selaras dengan Maqasid Syari’ah, iaitu menjaga keturunan.
- Ia menjaga maslahat sama ada pasangan suami atau isteri sekali gus mengelakkan berlaku penipuan yang boleh merosakkan bahtera perkahwinan.
- Implikasi tidak melakukan ujian tersebut menyebabkan seseorang yang tidak mengetahui dia menghidap HIV, membawa jangkitan kepada pasangannya dan juga keturunannya.
KUALA LUMPUR – “Apabila seseorang tidak mengambil langkah yang disyorkan pemerintah mengenai penularan HIV / AIDS, ini bererti mereka dengan sengaja telah mendedahkan diri dan orang lain kepada kemudaratan.”
Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata demikian ketika mengulas kenyataan Prof Dr Adeeba Kamarulzaman yang menyatakan ujian saringan HIV pra-perkahwinan dijalankan di Malaysia satu pembaziran dana kesihatan awam sebaliknya usaha hapuskan HIV perlu ditumpukan kepada golongan berisiko seperti pekerja seks, MSM dan individu yang menyuntik dadah (PWID).
Mantan Menteri Agama itu berkata, “Ujian Saringan HIV Pra-Perkahwinan adalah dibolehkan bahkan menjadi kemestian jika diputuskan oleh pihak pemerintah atau badan berautoriti.”
Pendapat yang mengharuskan, bahkan mewajibkan dengan dalil dan hujahnya amat bertepatan berdasarkan maslahat untuk kedua pasangan. Inilah pandangan kebanyakan tokoh dan ulama’. Ia selari dengan pendapat kesemua negeri-negeri di Malaysia dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.” katanya menerusi portal Al-Mawaqif.
Tambahnya, tindakan pemerintah adalah selaras dengan Maqasid Syari’ah, antaranya hifz al-nafs dan hifz al-nasl. Begitu juga, tindakan mereka menepati dengan kaedah: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”
Maqasid Syar’iyyah yang kelima ialah menjaga keturunan. Menutup sesuatu kemudaratan sebelum berlakunya mudarat tersebut adalah lebih baik daripada mengubatinya. Ia adalah penting bagi memelihara agama dan keturunan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan ujian saringan tersebut bertujuan menjaga maslahat kedua-dua belah pihak sama ada pasangan suami atau isteri sekali gus dapat mengelakkan daripada berlaku sebarang penipuan yang boleh merosakkan bahtera perkahwinan yang diinginkan damai dan bahagia.
“Kesan jika seseorang itu melakukan ujian saringan HIV ialah dapat mencegah HIV daripada merebak sekiranya dia menghidapinya.
Implikasi jika tidak melakukan ujian saringan HIV ialah seseorang yang tidak mengetahui bahawa dia menghidap HIV, akan menyebabkan jangkitan kepada pasangannya dan juga keturunannya,” katanya pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau memetik kata Syeikh Muhammad al-Zuhaili yang menyatakan:
“Sesungguhnya ujian makmal dan pemeriksaan kesihatan sebelum perkahwinan tidak ada salahnya di dalam syariat dan juga dalam pengamalannya walaupun di negara yang tidak menuntut dan mensyaratkan untuk melakukannya. Sekiranya pihak pemerintah menetapkannya atas tujuan kemaslahatan, maka pemeriksaan itu menjadi wajib.” (Lihat al-Irsyad al-Jini, hlm. 780)
Sumber : Portal Al-Mawaqif

You must be logged in to post a comment Login