Terkini
Sindiket pekerjaan, rakyat Malaysia dipukul dan direnjat elektrik di Laos
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim merayu kedutaan untuk membantu menyelamatkan tahanan sindiket penipuan pekerjaan di Laos.
- Salah seorang mangsa dakwa terdapat hampir 1,000 warga Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan masih ditahan di Laos dan berhadapan seksaan.
- “Saya tak tahan sedih. Dia bagitahu saya dia dah kena jual kat KK Myanmar. Lagi tiga hari akan dipindahkan. Tolonglah kedutaan. Saya tahu disebalik kekangan kewangan untuk uruskan bantuan. Tolonglah cuba bantu dia. “ – Datuk Hishamuddin Hashim .
- “Kalau saya tak ikut (buat kerja scammer) dia pukul. Saya hari-hari kena pukul menggunakan renjatan elektrik. Dia gari saya, pukul dan tidak beri makan selama dua minggu.” – mangsa.
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim merayu kedutaan untuk membantu menyelamatkan tahanan sindiket penipuan pekerjaan di Laos.
Rayuan itu dibuat susulan, salah seorang mangsa mendakwa terdapat hampir 1,000 warga Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan masih ditahan di Laos dan berhadapan dengan seksaan.
Menerusi hantaran di Facebook Malaysia International Humanitarian Organisation – MHO, satu video berdurasi enam minit 32 saat telah dikongsikan pada hari ini, di mana ia memaparkan perbualan di antara Datuk Hishamuddin bersama salah seorang mangsa.
Menurut Datuk Hishamuddin, mangsa tersebut akan dipindahkan ke tempat lain dalam tempoh tiga hari lagi jika dia tidak diselamatkan segera memandangkan mangsa telah dijual kepada KK Myanmar.
“Saya tak tahan sedih. Dia bagitahu saya dia dah kena jual kat KK Myanmar. Lagi tiga hari akan dipindahkan. Tolonglah kedutaan. Saya tahu disebalik kekangan kewangan untuk uruskan bantuan. Tolonglah cuba bantu dia.
“Saya hargai usaha En Zaharizal(difahamkan beliau merupakan Setiausaha Ketiga, kedutaan Malaysia di Vientiane) yang banyak bantu di kedutaan. Saya bimbang. Saya rasa anak ini seperti seorang yang naif dan selalu dipukul,” katanya.
Dalam pada itu, antara petikan daripada rakaman audio tersebut adalah mangsa yang tidak didedahkan identiti itu turut mendakwa bahawa sudah hampir setahun dia ditahan di Laos dan telah dijual sebanyak empat kali sekalipun ibunya pernah membayar hampir RM100,000 kepada sindiket.
Ini berikutan, sindiket tersebut menuntut bayaran lebih daripada RM200,000 jika ingin mangsa dilepaskan.
Kata mangsa, “Kalau saya tak ikut (buat kerja scammer) dia pukul. Saya hari-hari kena pukul menggunakan renjatan elektrik. Dia gari saya, pukul dan tidak beri makan selama dua minggu.
Lepas itu dia jual saya dekat syarikat lain malah harga pun dinaikkan. Saya sudah dijual sebanyak empat kali.”
Dia pakai telefon saya untuk menghubungi ibu saya, ugut supaya memasukkan duit. Mak saya sudah masukkan wang sebanyak RM100,000.”
Dalam rakaman tersebut, mangsa berkata selepas duit dimasukkan mangsa tetap tidak dilepaskan malah dijual kepada syarikat lain sementara wajah sindiket tersebut juga tidak didedahkan kepada mangsa.
Pada masa sama, ketika diajukan pertanyaan berapakah jumlah warga Malaysia yang masih ditahan di Laos mangsa menegaskan bahawa hampir 1,000 individu daripada pelbagai bangsa sama ada Melayu, Cina mahupun India yang berumur 20-an masih lagi ditahan.
Jelasnya, ibu dia telah membuat laporan kepada Polis Bukit Aman dan pihak kedutaan Laos sendiri turut memaklumkan bahawa namanya sudah termasuk dalam senarai bagaimanapun dia masih lagi belum dapat dibawa pulang sedangkan rakan-rakannya yang lain sudah kembali ke Malaysia.
Dalam pada itu, ketika Datuk Hishamuddin menghubungi ibu mangsa, beliau mengingatkan agar ibu mangsa tidak membuat sebarang bayaran kepada pihak sindiket dan perlu menunggu maklum balas daripada pihak mereka memandangkan beliau telah menekan kerajaan Laos untuk membantu melepaskan anak mangsa.
Sumber : Facebook Malaysia International Humanitarian Organisation – MHO