Terkini
Air Asia mansuh pemakaian pelitup muka dalam penerbangan berkuat kuasa serta-merta
AirAsia Malaysia (AK) pada Khamis mengumumkan pemansuhan pemakaian pelitup muka dalam penerbangan berkuat kuasa serta-merta berikutan pengumuman kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaiannya dalam penerbangan.

- Ia berkuat kuasa serta-merta berikutan kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaiannya dalam penerbangan.
- Pemakaian pelitup muka dalam penerbangan adalah pilihan penumpang, kecuali melibatkan perjalanan ke atau dari destinasi memerlukan pemakaiannya dalam pengangkutan awam.
- Pesawat AirAsia Malaysia (AK) dilengkapi penapis HEPA, hapuskan 99.99 peratus zarah habuk dan bahan cemar bawaan udara termasuk virus dan bakteria.
KUALA LUMPUR – AirAsia Malaysia (AK) pada Khamis mengumumkan pemansuhan pemakaian pelitup muka dalam penerbangan berkuat kuasa serta-merta berikutan pengumuman kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaiannya dalam penerbangan.
AK dalam kenyataan memaklumkan pemakaian pelitup muka dalam penerbangan adalah pilihan penumpang, kecuali mereka melakukan perjalanan ke atau dari destinasi yang memerlukan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam.
Bagaimanapun, penumpang yang ingin memakai pelitup muka semasa dalam penerbangan boleh terus berbuat demikian.
“Semua pesawat kami dilengkapi penapis HEPA yang mampu menghapuskan 99.99 peratus zarah habuk dan bahan cemar bawaan udara termasuk virus dan bakteria.
“Udara kabin disegarkan sepenuhnya setiap tiga minit untuk memastikan kualiti udara adalah pada tahap maksimum sepanjang penerbangan,” menurut kenyataan itu.
Pada Rabu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang berkuat kuasa serta-merta selepas mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang dan beban kes Covid-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini.
Sumber : Bernama
