Connect with us

Terkini

Tidak wujud pelanggaran kebebasan peribadi dalam larangan merokok! – Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia

Kebimbangan bahawa larangan tembakau bagi generasi yang lahir selepas 1 Januari 2007 iaitu Generasi Penamat (GEG) akan mencetuskan masalah berkaitan pelanggaran kebebasan peribadi kelak adalah tidak berasas.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

larangan merokok tidak melanggar hak kebebasan
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (JKPM) menyifatkan penggunaan tembakau bukan seperti pengambilan makanan manis atau minuman beralkohol, justeru perbandingan itu tidak relevan.
  • JKPM menggesa semua Ahli Parlimen menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam mewujudkan generasi ‘bebas rokok.
  • JKPM menekankan pelaksanaan undang-undang pencegahan itu dilihat tepat pada masanya dalam membawa perubahan dan memberi manfaat kepada generasi masa hadapan.
  • Pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang bertujuan mewujudkan GEG atau individu lahir 1 Januari 2007 dan seterusnya bebas merokok.

KUALA LUMPUR: Kebimbangan bahawa larangan tembakau bagi generasi yang lahir selepas 1 Januari 2007 iaitu Generasi Penamat (GEG) akan mencetuskan masalah berkaitan pelanggaran kebebasan peribadi kelak adalah tidak berasas.

Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (JKPM) dalam kenyataan pada Ahad, berkata penggunaan tembakau bukan seperti pengambilan makanan manis atau minuman beralkohol, justeru perbandingan itu tidak relevan.

Selain itu, tidak ada tahap merokok yang selamat dan ia membahayakan alam sekitar serta orang yang tidak bersalah di sekitarnya.

Menurutnya, Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 wajar diberi sokongan jitu oleh semua Ahli Parlimen merentasi jurang politik bagi menjayakan usaha Kementerian Kesihatan dalam mewujudkan generasi ‘bebas rokok’.

Beliau turut berkata, Ahli Parlimen perlu menunjukkan kesungguhan politik yang berani dan semangat kenegarawan tinggi dalam membantu melaksanakan RUU itu bagi mencipta legasi kesihatan yang benar-benar berkesan serta berkekalan untuk negara.

“Justeru, JKPM menggesa semua Ahli Parlimen merebut peluang ini dan memastikan tempat mereka dalam sejarah dengan berani menyokong cadangan larangan tembakau GEG berperingkat ini.

“Kerajaan juga perlu memastikan penguatkuasaan undang-undang yang tegas, adil, konsisten dan berterusan,” kata kenyataan itu.

JKPM turut menekankan pelaksanaan undang-undang pencegahan itu dilihat tepat pada masanya dalam membawa perubahan dan memberi manfaat kepada generasi masa hadapan.

Pada 30 Julai, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang bertujuan mewujudkan GEG atau individu lahir 1 Januari 2007 dan seterusnya bebas merokok, tidak akan menjejaskan ekonomi negara.

Khairy berkata, berdasarkan kajian mendalam dijalankan pihaknya, industri tembakau hanya memberi kesan 0.18 peratus saja terhadap keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada 27 Julai lalu, beliau membentangkan RUU itu, yang melarang individu lahir pada 2007 dan seterusnya merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. 

Sumber : Bernama / Berita Harian

Author