Antarabangsa
Hina Nabi Muhammad SAW, penggubal undang-undang India dari BJP ditahan polis
Seorang penggubal undang-undang India dari parti nasionalis Hindu, Parti Bhartiya Janata (BJP) ditahan kerana membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW yang mencetuskan protes besar-besaran di Hyderabad, Telangana, malam Isnin lalu.

- Seorang penggubal undang-undang dari parti nasionalis Hindu, Parti Bhartiya Janata (BJP) ditahan kerana membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dalam sebuah rakaman video.
- Thakur Raja Singh yang ahli dewan undangan negeri dari BJP ditangkap pagi semalam.
- Sejurus video hina nabi itu dikeluarkan Isnin lalu, protes besar-besaran tercetus di beberapa kawasan di Hyderabad.
- Jurucakap BJP, Nupur Sharma sebelum ini turut membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW di TV, mengundang kecaman meluas Muslim di seluruh dunia selain menyaksikan produk India diboikot di beberapa negara.
Seorang penggubal undang-undang India dari parti nasionalis Hindu, Parti Bhartiya Janata (BJP) ditahan kerana membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW yang mencetuskan protes besar-besaran di Hyderabad, Telangana, malam Isnin lalu.
Menurut polis Hyderabad, Thakur Raja Singh yang juga ahli dewan undangan negeri dari BJP ditahan pagi semalam selepas beberapa laporan kes dibuat ke atasnya di beberapa lokasi berbeza di bandar itu.
“Kami sudah menahannya. Maklumat lanjut akan dikongsi nanti,” kata pegawai kanan polis di Hyderabad, Joel Davis dipetik media TRT.
Isnin lalu, ahli BJP itu mengeluarkan video yang menunjukkan dirinya membuat komen menghina Nabi Muhammad SAW.
Sejurus video itu dikeluarkan, protes tercetus di beberapa kawasan di Hyderabad pada Isnin malam menuntut agar tindakan diambil terhadap ahli BJP itu.
Baru-baru ini, jurucakap BJP, Nupur Sharma membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW semasa perbahasan di sebuah rancangan televisyen yang mengundang kecaman meluas dalam kalangan Muslim di seluruh dunia.
Kenyataan Nupur Sharma itu ditentang Kerajaan India dan partinya yang bertindak menggantung tugasnya.
Seorang lagi jurucakap BJP, Naveen Kumal Jindal dipecat dari parti selepas membuat komen di media sosial yang menunjukkan sokongannya terhadap Nupur Sharma yang jelas menentang Islam.
Berikutan kenyataan mereka, perhimpunan besar-besaran diadakan di seluruh negara itu.
Lebih sedozen negara majoriti Islam dan pertubuhan antarabangsa mengecam kenyataan kontroversi oleh ahli BJP itu yang turut menyaksikan produk India diboikot di beberapa negara.
Sumber: TRT World
