Connect with us

Terkini

“Awas! Guru muat naik kandungan negatif di Tiktok bakal dikenakan tindakan,”- KPM

Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana guru yang didapati memuat naik video yang mempunyai kandungan unsur negatif ke laman media sosial seperti TikTok.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Guru muat naik kandungan negatif di Tiktok
Foto: Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon.
  • KPM akan ambil tindakan ke atas guru yang didapati memuat naik video mempunyai kandungan unsur negatif ke laman media sosial seperti TikTok.
  • Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon berkata, KPM akan memperhalusi lebih lanjut perkara berkenaan demi memelihara nama baik institusi pendidikan negara.
  • Warga pendidik dinasihatkan menggunakan media sosial secara berhemah, menjadi teladan yang baik buat anak murid dan seeloknya menjurus kepada kandungan-kandungan berbentuk pendidikan.
  • Awal bulan ini, portal media melaporkan seorang pemuda dikatakan guru memuat naik video pendek ke media sosial TikTok yang didakwa mempunyai unsur pengantunan seksual atau ‘sexual grooming’.
  • Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menasihatkan golongan pendidik menggunakan aplikasi TikTok bagi tujuan pembelajaran dan bukan untuk mempopularkan diri.

KAMPAR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana guru yang didapati memuat naik video yang mempunyai kandungan unsur negatif ke laman media sosial seperti TikTok.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon berkata, KPM juga akan memperhalusi lebih lanjut perkara berkenaan demi memelihara nama baik institusi pendidikan negara.

Katanya lagi, perbincangan lanjut di peringkat kementerian itu juga akan diadakan bagi mengekang masalah berkenaan daripada terus berulang pada masa hadapan, lapor Astro Awani.

“Sebagaimana ibu bapa kepada anak mereka, begitu juga dengan guru, apabila tingkah laku mereka itu juga akan menjadi ikutan anak-anak murid, selain daripada ilmu yang disampaikan dalam kelas.

“Jadi pada pandangan saya, sebagai guru yang terlatih ini, mereka harus memahami tugas dan tanggungjawab sebenar mereka apabila bergelar seorang guru.

“Tugas mereka untuk memastikan anak didik mereka ini menjadi insan yang lebih baik atau disebut kemenjadian murid. Anak murid ini harus berjaya bukan sahaja dari segi akademik semata-mata, malah aspek rohani dan sahsiah juga penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Ke-20 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan pelancaran Bamboo Pavilion, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Canselor UTAR, Tun Dr Ling Liong Sik serta Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan UTAR, Tan Sri Dr Sak Cheng Lum.

Hang Soon terdahulu diminta mengulas berkenaan tindakan segelintir guru terutama dalam golongan muda yang memuat naik video berunsur negatif seperti berbaur seksual ke laman TikTok, seperti yang tular baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hang Soon turut menasihatkan agar warga pendidik dapat menggunakan media sosial dengan cara berhemah dan seeloknya menjurus kepada kandungan-kandungan berbentuk pendidikan.

“Apa yang kita muat naik ke laman sosial ini akan menjadi tatapan umum. Ada kalanya juga, sesuatu tindakan kita buat itu tidak dijangka akan tular.

“Justeru, saya menasihatkan warga pendidik untuk lebih berhati-hati dan menjadi contoh teladan terbaik kepada anak murid kita.

“Gunakan media sosial ini dengan cara yang elok seperti dengan menyampaikan ilmu pengetahuan dan menunjukkan contoh-contoh terbaik kepada masyarakat,” katanya lagi.

Pada awal bulan ini, sebuah portal media melaporkan seorang pemuda dikatakan guru telah memuat naik video pendek ke media sosial TikTok yang didakwa mempunyai unsur pengantunan seksual atau ‘sexual grooming’.

Terdahulu pada April pula, tular di laman Twitter perkongsian seorang pengguna memaparkan tangkap layar seorang guru yang melakukan sesi video secara langsung di aplikasi sama sambil mengajar di dalam kelas.

Perlakuan itu mengundang pelbagai reaksi negatif khususnya daripada ibu bapa yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) kemudian dalam satu kenyataan dilaporkan menasihatkan agar golongan pendidik dapat menggunakan aplikasi TikTok bagi tujuan pembelajaran dan bukan untuk mempopularkan diri.

Sumber : Astro Awani

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *