Terkini
Sarawak kekal iktiraf UEC, walau bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan
Negeri Sarawak dilaporkan akan kekal mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) walaupun ianya jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

- Menteri Pendidikan, Radzi Jidin berpendirian kementeriannya tidak iktiraf UEC kerana ia bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
- Bagaimanapun,Timbalan menteri Sarawak berjanji akan kekal mengiktiraf UEC walaupun Putrajaya keberatan berbuat demikian.
- Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri, Dr Annuar Rapaee berkata kerajaan Sarawak sentiasa hargai bakat dan satu pembaziran modal insan sekiranya tidak iktiraf UEC.
- Sarawak iktiraf UEC sejak 2014 yang membolehkan pemegang sijil itu sertai perkhidmatan awam negeri, memohon biasiswa dari Yayasan Sarawak, malah memasuki Universiti Teknologi Sarawak milik kerajaan negeri.
- Kerajaan Sarawak juga giat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
PETALING JAYA: Negeri Sarawak dilaporkan akan kekal mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) walaupun ianya jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Memetik laporan Free Malaysia Today, seorang timbalan menteri Sarawak berjanji negeri tersebut akan terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), walaupun Putrajaya keberatan berbuat demikian.
Dalam pada itu, timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri, Dr Annuar Rapaee berkata, kerajaan Sarawak sentiasa menghargai bakat.
“Ia satu pembaziran modal insan sekiranya kita tidak mengiktiraf UEC,” katanya yang turut berkongsi bahawa kerajaan negeri menyediakan geran sehingga RM10 juta setahun kepada sekolah Cina persendirian.
Difahamkan, Sarawak mengiktiraf UEC sejak 2014 yang membolehkan pemegang sijil itu menyertai perkhidmatan awam negeri, memohon biasiswa dari Yayasan Sarawak, malah memasuki Universiti Teknologi Sarawak milik kerajaan negeri.
Kenyataan Annuar bertentangan dengan pendirian Menteri Pendidikan, Radzi Jidin yang berkata bahawa kementeriannya akan kekal tidak mengiktiraf UEC kerana ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Menurut Annuar, dunia kini tiada sempadan dan kerajaan tidak patut menyekat sesiapa pun daripada mendapat pendidikan pilihan mereka.
“Pendidikan sepatutnya bersifat progresif dan membolehkan modal insan lebih baik serta pelbagai.
“Kebebasan pendidikan sama pentingnya dengan kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi.”
Katanya, Putrajaya wajar “mempertimbangkan secara serius” desentralisasi pendidikan dan “Biar kerajaan negeri memutuskan apa yang terbaik untuk negeri masing-masing berdasarkan keperluan mereka. Peranan kerajaan persekutuan sepatutnya lebih kepada menyokong kerajaan negeri secara kewangan dalam hal pendidikan.”
Selain pengiktirafan UEC, kerajaan Sarawak juga giat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
Awal bulan ini, Annuar dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan berusaha memastikan pelajarnya fasih berbahasa Inggeris bagi membolehkan mereka cemerlang dalam pelajaran dan mempunyai masa depan cerah.
Sumber : Free Malaysia Today

You must be logged in to post a comment Login