Connect with us

Terkini

Pemimpin DAP syor undang-undang kawalan tembakau ditangguhkan 3 tahun

Ahli Parlimen Kuching yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen mengesyorkan supaya penguatkuasaan larangan merokok kepada individu yang lahir pada 2007 dan ke atas atau generasi penamat (GEG), ditangguhkan selama tiga tahun.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

pemimpin dap kelvin yii
Foto: Dr Kelvin Yii Lee Wuen.
  • Ahli Parlimen Kuching,Dr Kelvin Yii Lee Wuen, mengesyorkan supaya penguatkuasaan larangan merokok kepada individu yang lahir pada 2007 dan ke atas atau generasi penamat (GEG), ditangguhkan selama tiga tahun.
  • Beliau turut mencadangkan individu yang melakukan kesalahan seperti digariskan dalam RUU itu, khususnya remaja berusia di bawah 18 tahun, tidak dikenakan hukuman penjara.
  • Penangguhan pelaksanaan GEG selama tiga tahun bagi memberi tempoh persediaan yang mencukupi kepada semua pihak berkaitan.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuching yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen mengesyorkan supaya penguatkuasaan larangan merokok kepada individu yang lahir pada 2007 dan ke atas atau generasi penamat (GEG), ditangguhkan selama tiga tahun.

Larangan itu termaktub dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat, semalam.

Pada masa sama, jawatankuasa itu turut mencadangkan supaya individu yang melakukan kesalahan seperti digariskan dalam RUU itu, khususnya remaja berusia di bawah 18 tahun, tidak dikenakan hukuman penjara.

Pengerusi jawatankuasa itu, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, berkata pihaknya mencadangkan penangguhan pelaksanaan GEG selama tiga tahun bagi memberi tempoh persediaan yang mencukupi kepada semua pihak berkaitan.

Tegasnya, persediaan itu penting untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan, khususnya dengan menyediakan rangka kerja penguatkuasaan antara kerajaan yang jelas dan terperinci.

“Penguatkuasaan nanti bukan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja, tapi pelbagai agensi dan pihak berkuasa lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) serta lain-lain.

“Jadi perlu ada rangka kerja yang jelas dan terperinci mengenai penguatkuasaan supaya tiada salah guna kuasa. Jadi, kami sarankan GEG dilaksanakan bermula 2025,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Semalam, Khairy membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, yang antara lain mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara yang berkaitan.

RUU itu juga mengadakan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Mengulas lanjut, Dr Lee Wuen berkata, jawatankuasa itu tidak bersetuju dengan hukuman jenayah yang diperuntukkan dalam RUU itu, khususnya terhadap pesalah dalam kalangan remaja.

“Jawatankuasa menyarankan hukuman kepada remaja tidak membabitkan penjara dan kesalahan dilakukan golongan itu juga tidak direkodkan supaya tidak menjejaskan masa depan mereka.

“Hukuman alternatif yang kami cadangkan adalah perkhidmatan komuniti, sesi kaunseling mandatori dan denda berpatutan berasaskan sistem peringkat, yang membezakan hukuman bagi pesalah kali pertama dan pesalah berulang,” katanya.

Selain itu, Dr Lee Wuen memaklumkan pihaknya turut mencadangkan RUU itu memasukkan klausa khas yang mewajibkan ‘penilaian wajib’ sebelum dan selepas RUU itu dikuatkuasakan.

Pihaknya juga mencadangkan kerajaan meningkatkan peruntukan kepada program mQuit di bawah KKM, atau mana-mana program lain yang membantu masyarakat berhenti merokok.

“Kami juga syorkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada cukai yang diperoleh daripada industri vape dan tembakau diperuntukkan kepada program mQuit atau program lain seumpamanya,” katanya, memaklumkan sudah menyerahkan syor itu kepada KKM.

 

Author