Terkini
Individu muda membeli rokok bakal didenda RM5,000
Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.
- Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 akan dibentang hari ini bagi mengharamkan penjualan rokok serta produk vape kepada mereka yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya.
- Sekiranya individu tersebut membeli produk sedemikian, mereka boleh didenda sehingga RM5,000.
- Penekanan yang lebih besar kepada rang undang-undang itu diberikan ke atas peruncit dan pengilang.
- Pengiklanan produk tembakau dan produk yang berkaitan turut menjadi satu kesalahan mengikut rang undang-undang ini.
KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.
Pembentangan RUU tersebut bertujuan untuk mengharamkan penjualan rokok serta produk vape kepada mereka yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya.
Sekiranya individu lahir pada atau selepas tarikh itu membeli produk sedemikian, mereka boleh didenda sehingga RM5,000.
Walau bagaimanapun, penekanan yang lebih besar kepada rang undang-undang itu diberikan ke atas peruncit dan pengilang.
Rang undang-undang itu turut mencadangkan bahawa mana-mana individu atau organisasi yang mengimport, mengilang dan mengedar produk tembakau, bahan rokok dan produk gantian tembakau tanpa lesen turut akan dihukum.
Sebarang pengiklanan produk tembakau dan produk yang berkaitan juga menjadi satu kesalahan mengikut rang undang-undang itu, termasuk sebarang bahan yang boleh mendorong, mencadangkan atau menggalakkan penggunaan produk tembakau.
Pesalah individu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pesalah berulang berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM30,000, atau kedua-duanya sekali.
Hukuman lebih berat dicadangkan untuk organisasi korporat dengan mereka boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun, atau denda antara RM20,000 dan RM100,000, atau kedua-duanya sekali.
Pesalah berulang pula akan berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda antara RM50,000 dan RM300,000, atau kedua-duanya sekali.
Sekiranya organisasi tersebut mengulangi kesalahan kali kedua dan berikutnya, organisasi itu boleh didenda RM50,000 dan tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Sumber: Malaysia Kini