Terkini
Generasi lahir selepas 2005 dilarang beli rokok,vape – Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin berkata, minggu depan akan menjadi pengakhiran kepada aktiviti merokok dalam kalangan generasi belia jika ia diluluskan.
- Larangan tersebut akan dikuatkuasakan melalui Rang Undang-Undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.
- Pengenalan akta baharu itu bertujuan mengurangkan generasi akan datang terdedah dengan produk tembakau.
- Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar gesa RUU baharu itu diluluskan.
- 53 NGO dan badan profesional turut menggesa semua ahli Parlimen menyokong RUU tersebut untuk selesaikan isu ketagihan merokok.
- Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), berkata jumlah pengguna rokok elektronik meningkat daripada 600,000 orang kepada 1.2 juta orang dalam tempoh tiga tahun.
KUALA LUMPUR – Generasi lahir selepas 2005 tidak akan dibenarkan sama sekali membeli produk tembakau termasuk rokok elektronik (vape).
Kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Rang Undang-Undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan akan menjadi pengakhiran kepada aktiviti merokok dalam kalangan generasi belia jika ia diluluskan.
Pada 17 Februari, dalam laporan portal Sinar Harian, Khairy mengumumkan bahawa pengenalan akta tersebut bertujuan mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian kanser serta menyumbang 22 peratus kematian akibat penyakit sama.
“Mereka yang lahir selepas 2005 tidak akan dibenarkan sama sekali membeli produk tembakau. Ya, penguatkuasaan akan menjadi satu isu dan kami akan berusaha keras dalam hal ini.
Bagaimanapun, marilah kita menutup ruang untuk golongan belia merokok buat selama-lamanya,” kata beliau yang terus menggesa undang-undang baharu tersebut diluluskan.
Sementara itu, pada 22 Julai media melaporkan sebanyak 53 badan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional turut menggesa semua ahli Parlimen menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan dalam usaha menyelesaikan isu ketagihan merokok.
Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. M Murallitharan meluahkan rasa kecewa dengan respons beberapa ahli Parlimen yang tidak menyokong RUU tersebut seperti dilaporkan menerusi siaran media Code Blue pada Rabu.
Jelas beliau, ketagihan rokok semakin membimbangkan termasuk peningkatan pengguna rokok elektronik (vape) kepada 4.9 peratus pada 2019 berbanding 3.2 peratus pada 2016 yang boleh memberikan kesan besar kepada sosial, kesihatan dan ekonomi negara.
“Ini menjadikan jumlah pengguna rokok elektronik telah meningkat daripada 600,000 orang kepada 1.2 juta orang dalam tempoh tiga tahun dan menimbulkan kebimbangan kepada kami dalam kumpulan profesional, NGO dan aktivis kesihatan.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa pelaksanaan Akta Merokok dan Generasi Penamat (GEG) yang merupakan larangan tabiat merokok bagi golongan remaja yang lahir selepas Januari 2005 mesti disokong di Parlimen,” katanya pada sesi taklimat dan sidang akhbar di NCSM, pada Jumaat.
Tambahnya, sokongan kepada pelaksanaan RUU tersebut dapat mengubah masa depan kesihatan generasi akan datang yang bebas daripada penyakit akibat ketagihan nikotin.
Sumber : Sinar Harian