Terkini
Bimbang rugi, Dewan Perniagaan Cina Langkawi gesa kerajaan kaji semula RUU Kawalan Tembakau dan Merokok.
Dewan Perniagaan Cina Langkawi (DPCL) menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan Dasar Penamat Generasi (GEG) menerusi Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok.

- “Peniaga akan mengalami kerugian kerana kita bukan sahaja kehilangan jualan produk tertentu tetapi turut memberi kesan kepada barangan lain.” – DPCL.
- “Pengharaman rokok sepenuhnya akan mengurangkan pendapatan kami dalam jangka panjang, sedangkan peruncit di kawasan bebas cukai turut berfungsi menyumbang kepada ekonomi negara.”
LANGKAWI: Dewan Perniagaan Cina Langkawi (DPCL) menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan Dasar Penamat Generasi (GEG) menerusi Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok.
Gesaan itu dibuat susulan langkah Kementerian Kesihatan membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, dua hari lalu.
Timbalan Pengerusi DPCL, Ku Chin Loon, berkata jika rang undang-undang itu diluluskan, ia boleh menjejaskan pendapatan peniaga yang berpaksikan industri pelancongan.
“Peniaga akan mengalami kerugian kerana kita bukan sahaja kehilangan jualan produk tertentu tetapi turut memberi kesan kepada barangan lain.
“Kedatangan pelanggan berkurangan, impaknya menjadi lebih ketara bagi peniaga yang memfokuskan kepada produk terpilih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
RUU berkenaan akan mengenakan tindakan ke atas individu yang lahir dari 2007, jika mereka membeli, memiliki atau menggunakan rokok atau vape.
Chin Loon berkata, kebanyakan peniaga baru pulih selepas terkesan akibat pendemik COVID-19 dan kini bakal berdepan pula dengan keputusan kerajaan untuk mengenakan duti eksais ke atas rokok di kawasan bebas cukai.
“Pengharaman rokok sepenuhnya akan mengurangkan pendapatan kami dalam jangka panjang, sedangkan peruncit di kawasan bebas cukai turut berfungsi menyumbang kepada ekonomi negara.
“Perniagaan kami membantu meningkatkan kedatangan pelancong tempatan sambil menarik pelabur untuk melabur dalam pelbagai industri serta mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.
Justeru, katanya, Dewan Perniagaan Cina Langkawi menggesa Ahli Parlimen khususnya dari kawasan bebas cukai termasuk Langkawi, Labuan, Pangkor dan Tioman mempertimbangkan semula sokongan mereka untuk meluluskan RUU GEG itu.
Sumber : Berita Harian
