Connect with us

Terkini

Kelantan banjir tiga kali setahun, penduduk hilang punca pendapatan

Mangsa banjir di Kampung Tasik Gondang, mengatakan kebanyakan penduduk di sini berdepan kesusahan dan begitu mengharapkan sumbangan pihak lain berikutan kehidupan seharian mereka disifatkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Kelantan banjir tiga kali setahun, penduduk hilang punca pendapatan
Foto : Keadaan rumah mangsa banjir di Rantau Panjang
  • Mangsa banjir di Kampung Tasik Gondang, mengatakan kebanyakan penduduk di sini berdepan kesusahan dan begitu mengharapkan sumbangan pihak lain berikutan kehidupan seharian mereka disifatkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
  • Kak Nah, 33, beritahu majoriti penduduk kampung itu penoreh getah dan mengait kelapa sawit untuk menampung perbelanjaan seharian.
  • Kak Nah berkata disebabkan banjir setahun tiga kali, mereka terpaksa tanggung banyak kerugian berikutan hampir semua barangan di rumah rosak dinaiki banjir dan lumpur.
  • Penduduk Kampung Serongga mengharapkan bantuan berbentuk seperti peralatan dapur, pakaian, tilam dan peralatan/pakaian anak-anak ke sekolah dapat disalurkan kepada mereka.

 

RANTAU PANJANG – Mangsa banjir di Kampung Tasik Gondang, mengatakan kebanyakan penduduk di sini berdepan kesusahan dan begitu mengharapkan sumbangan pihak lain berikutan kehidupan seharian mereka disifatkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Penduduk di sini, yang ingin dikenali sebagai Kak Nah, 33, memberitahu majoriti penduduk kampung itu bekerja sebagai penoreh getah dan mengait kelapa sawit untuk menampung perbelanjaan seharian.

Namun, berikutan bencana banjir, sumber pendapatan mereka terputus sepenuhnya.

“Orang kampung di sini kerja kais pagi makan pagi. Kebanyakan mereka toreh getah dan kait kelapa sawit. Kalau banjir tak boleh kerja kalau ada duit makan kalau tiada tak makan.

“Dalam sebulan ini asyik banjir sahaja mana boleh menoreh, makan hanya nasi dengan budu dan telur, kalau ada telurlah kalau tiada nasi kosong sahaja.

“Menoreh kalau sehari dapat RM 30. Kalau kait kelapa sawit pula kira satu tan RM 80 tapi tak boleh buat kerja seorang jadi duit itu kena bahagi dua tinggal  RM 40 seorang.

“Penduduk kampung memang penat lah. Boleh dikatakan semua penduduk di sini mengharapkan sumbangan untuk hidup. Kamu tengok satu pasangan beberapa orang anak?” kata Kak Nah ketika ditemui di sini pada Ahad.

Kak Nah berkata disebabkan banjir yang berlaku setahun tiga kali juga, mereka terpaksa menanggung banyak kerugian berikutan hampir semua barangan di rumah rosak dinaiki banjir dan lumpur.

Foto: Keadaan rumah Penduduk Kg. Tasik Gondang

Bagaimanapun, Kak Nah yang sudah hampir 23 tahun menetap di kawasan itu menegaskan bahawa wakil rakyat di sini sangat prihatin dan menjalankan tugas dengan baik.

“Dia (Siti Zailah Mohd Yusoff) kalau banjir rela tak tidur, pergi sana sini bantuan pun laju. Dia usaha kalau tak boleh masuk pun dia masuk dengan speedboat.

“Orang dekat sini semua sayang dia kerana dia betul-betul buat kerja semua dia ambil berat turun padang sendiri.
“Setahun tiga kali atau empat kali akan banjir, tapi nak salahkan Kak Lah sebab apa inikan kerja Tuhan belaka, bukan sini sahaja banjir semua banjir kan?

“Kak Lah tolong setakat ini, alhamdulillah,” kata Kak Nah yang ditemui di rumahnya ketika Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff bersama beberapa buah NGO lain seperti Yayasan Al-Manjie dan Sedulur mengagihkan bantuan kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Serongga ketika ditemui pada Jumaat mengharapkan bantuan berbentuk seperti peralatan dapur untuk memasak, pakaian, tilam dan peralatan/pakaian untuk anak-anak ke sekolah dapat disalurkan kepada mereka.

“Banjir di kawasan ini mencecah paras bumbung. Air naik dengan cepat dalam tempoh dua jam air naik hingga paras tiga kaki.

“Jalan ditenggelami air sehingga yang kelihatan hanyalah tiang elektrik malah bulan dua tahun ini juga kami melalui hal sama.

“Sudah 30 tahun hidup di kawasan ini tapi tidak pernah seteruk ini. Banjir kali ini paling teruk,” kata penduduk di sini yang ingin dikenali sebagai Azman.

Azman dan beberapa penduduk lain mendakwa pembinaan projek tebatan banjir atau benteng yang sedang diusahakan untuk mengurangkan bencana banjir di sini menyebabkan kejadian banjir kali ini menjadi lebih teruk.

Bagaimanapun, terdapat individu lain menjelaskan bahawa projek itu belum disiapkan sepenuhnya untuk menunjukkan kesan yang efektif.

Foto: Paras air sungai yang meningkat di Rantau Panjang

 

Setakat jam 9 pagi ini, jumlah mangsa banjir di Kelantan terus turun kepada 4,184 orang berbanding 5,585 orang malam tadi.

Kesemua mangsa membabitkan 1,374 orang keluarga yang ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Pasir Mas dan Tumpat. – The Merdeka Times

Author