Terkini
Kebebasan bersuara tidak seharusnya disekat atas alasan ekstrem atau fitnah – peguam
Kebebasan bersuara di Malaysia tidak seharusnya disekat atas alasan ekstrem atau fitnah. Ini kerana larangan atau sekatan ke atas kebebasan bersuara itu bersifat “too generic” (terlalu generik) atau “arbitrary” (dibuat dengan sewenang-wenangnya).
- “Kalau fitnah samanlah. Sudah ada remedi undang-undang dan ia tak bermakna tak boleh sekat langsung. Kalau nak sekat boleh tetapi mesti jelas dan kenapa ditegah.
- “Misalnya hina Nabi, atau agama yang ganggu ketenteraman awam serta hina atau fitnah Yang di-Pertuan Agong, jadi ia tidak boleh dibiarkan dan mesti disekat.”
- Menyekat atas alasan ekstrem dan fitnah mengikut definisi atau cita rasa sendiri tidak diperbolehkan apatah lagi jika kerajaan hanya menyekat satu pihak sahaja yang jelas menunjukkan berlakunya berat sebelah dan diskriminasi. – Peguam, Lukman Sheriff Alias.
KUALA LUMPUR – Kebebasan bersuara di Malaysia tidak seharusnya disekat atas alasan ekstrem atau fitnah.
Ini kerana larangan atau sekatan ke atas kebebasan bersuara itu bersifat “too generic” (terlalu generik) atau “arbitrary” (dibuat dengan sewenang-wenangnya).
Peguam, Lukman Sheriff Alias berkata, dalam amalan demokrasi, kerajaan seharusnya menerima segala kritikan.
Menegaskan beliau juga tidak bersetuju dengan penggunaan kritikan ekstrem atau fitnah, tetapi hak bersuara, termasuk memaki kerajaan, tetap hak seseorang individu untuk bersuara.
“Tak kisah macam mana teruk kata caci dan fitnah terhadap kerajaan, dalam sebuah demokrasi, ini memang dan patut dibenarkan.
“Kerajaan ada satu jentera yang besar untuk menangani naratif negatifnya, maka pakailah jentera ini membalas naratif buruk ke atasnya.
“Sama juga dengan fitnah. Kalau fitnah samanlah. Sudah ada remedi undang-undang dan ini tak bermakna tak boleh sekat langsung. Kalau nak sekat boleh tetapi mesti jelas dan kenapa ditegah,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil semalam dilaporkan berkata kebebasan bersuara tidak boleh sehingga sampai ke tahap menyebarkan fitnah dan mengeluarkan tohmahan tidak berasas.
Lukman Sheriff berkata sekatan, jika dilakukan, perlu bersandarkan sebab yang jelas.
“Misalnya menghina Nabi, atau agama yang akan mengganggu ketenteraman awam serta lagi menghina atau memfitnah Yang di-Pertuan Agong, jadi ia tidak boleh dibiarkan dan mesti disekat,” jelas beliau.
Beliau berkata menyekat atas alasan ekstrem dan fitnah mengikut definisi atau cita rasa sendiri tidak diperbolehkan apatah lagi jika kerajaan hanya menyekat satu pihak sahaja yang jelas menunjukkan berlakunya berat sebelah dan diskriminasi.
Katanya, situasi ini akan menyumbang kepada banyak permasalahan, terutama jika ia dilihat menekan hak rakyat.
“Pada kumpulan kanan, Dong Zhong ekstrem. Adakah kita patut sekat mereka bersuara atas alasan mereka ekstrem? Pada kumpulan liberal/kiri, penentang sekolah vernakular adalah ekstrem. Adakah mereka patut disekat?
“Juga, mungkin pada ramai Melayu DAP ini ekstrem. Pada ramai bukan Melayu pula PAS ekstrem. Adakah kita patut sekat mereka bersuara? Ini terlalu arbitrari. Kita tak boleh laksana undang-undang ikut suka hati atau sewenang-wenangnya. Ini bukan rule of law,” katanya.
Lukman Sheriff juga mengingatkan pihak kerajaan supaya tidak termakan dengan cara kumpulan liberal menangani isu kebebasan bersuara.
“Pada mereka kalau tak setuju aje mereka akan label ini hatred/kebencian dan minta disekat/“ban”. Woke culture. Kebencian pun sebahagian dari free speech.
“Walaupun menyakiti ia masih free speech. Ini tidak bermakna semua hatred mesti dibenarkan,” kata peguam itu.
Beliau menegaskan sekiranya ucapan itu boleh menimbulkan keganasan atau mengganggu ketenteraman awam ia wajar disekat.
Katanya, di Malaysia ada beberapa sekatan di bawah akta seperti akta hasutan atau penal code yang sudah lama wujud dan digunakan pakai untuk kes melibatkan menghina kaum, agama dan YDPA.
“Sepatutnya kita cuba kurangkan sekatan ini. Sebab itu sejak bertahun-tahun dah ada gerakan untuk memansuhkan dan meminda Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) oleh Pakatan Harapan sendiri. Adalah tak konsisten nak pinda Akta MCMC tetapi menyekat media dalam talian.
“Kita akan ke belakang dan menjadi authoritarian kalau ini diteruskan. Sepatutnya bar council dan lain-lain dah bersuara dah. Kenapa senyap pun saya tak tahu,” katanya. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Lukman Sheriff