Antarabangsa
Kerajaan Syria tolak sertai Perjanjian Abraham dan normalisasi Israel

Selepas Syria menyatakan minat untuk menyertai Perjanjian Abraham kepada penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, saluran TV Syria melaporkan pada malam Ahad bahawa Kerajaan Syria telah menghantar surat kepada AS menolak untuk menyertai negara lain dalam menormalisasi hubungan dengan Israel, dengan alasan bahawa Israel sedang menjajah wilayahnya.
Sumber memberitahu saluran itu bahawa Kerajaan Syria menegaskan Perjanjian Abraham adalah bersama “negara-negara yang tanahnya tidak dijajah Israel, oleh itu Syria tidak boleh menjadi sebahagian daripadanya.”
Walaupun menolak penyertaan, Kerajaan Syria dalam surat tersebut mengesahkan komitmennya untuk membina sebuah negara yang tidak bercita-cita menjadi ancaman kepada sesiapa.
Laporan Syria itu juga menyebut bahawa satu isu utama dibangkitkan AS adalah kehadiran tentera asing di wilayah Syria, dengan AS menuntut pengunduran mereka. Kerajaan Syria menjawab bahawa isu tersebut memerlukan perundingan yang meluas dengan AS.
Ahli Kongres AS, Cory Mills telah melawat Damsyik minggu lalu, di mana beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Syria, Ahmed Al-Sharaa mengenai keamanan antara Syria dan Israel serta usaha untuk menarik balik sekatan ke atas negara itu. Menurut Mills, Al-Sharaa menyatakan bahawa Syria berminat untuk menyertai Perjanjian Abraham sekiranya “syarat-syarat yang sesuai” dipenuhi.
Seorang lagi Ahli Kongres, Merlin Statzman, turut melawat Syria dan dalam satu temu bual eksklusif bersama i24NEWS, beliau berkongsi pandangannya terhadap Al-Sharaa serta mesejnya untuk keamanan.
Antara tuntutan Al-Sharaa ialah supaya Israel menghentikan serangan ke atas wilayah Syria dan memastikan Syria kekal bersatu. Satu lagi tuntutan, yang mungkin menjadi cabaran bagi Israel, adalah berhubung pengunduran pasukan Israel dari wilayah Syria, termasuk di Hermon Syria dan kawasan lain seperti Bukit Golan. — The Merdeka Times
Dapatkan perkembangan terkini di Palestin secara pantas dan eksklusif dengan sertai telegram Dunia Palestin: t.me/duniapalestin
