Terkini
Statistik perkahwinan bawah umur turun ketara – KPWKM

- Statistik perkahwinan bawah umur direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk lima tahun terkini menunjukkan trend penurunan yang ketara.
- Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), sebanyak 1,467 kes perkahwinan bawah umur direkodkan pada tahun 2019 dan angka itu terus menurun pada tahun-tahun berikutnya iaitu 1,354 kes (2020), 1,086 kes (2021), 1,035 kes (2022) dan 923 kes (2023).
- Menerusi jawapan bertulis pada Khamis yang disiarkan di laman web Parlimen, KPWKM berkata pihaknya sentiasa menyokong cadangan bagi mengetatkan lagi prosedur perkahwinan bawah umur bagi melindungi kanak-kanak.
KUALA LUMPUR — Statistik perkahwinan bawah umur direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk lima tahun terkini menunjukkan trend penurunan yang ketara.
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), sebanyak 1,467 kes perkahwinan bawah umur direkodkan pada tahun 2019 dan angka itu terus menurun pada tahun-tahun berikutnya iaitu 1,354 kes (2020), 1,086 kes (2021), 1,035 kes (2022) dan 923 kes (2023).
Kementerian itu berkata pihaknya komited menangani punca perkahwinan bawah umur melalui pelaksanaan program dan tindakan di bawah Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.
Pelan itu terdiri daripada tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program dengan penglibatan pelbagai agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) serta pertubuhan antarabangsa sebagai agensi peneraju dan pelaksana.
“Melalui Pelan ini, Kerajaan mengambil pendekatan yang menyeluruh, bukan sahaja merangkumi aspek perundangan, malah dari aspek pendidikan, kesedaran terhadap pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif, pengukuhan institusi kekeluargaan dan sistem sokongan sosioekonomi.
“Ini termasuklah program-program yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di samping mengubah stigma dan norma sosial masyarakat supaya punca-punca perkahwinan bawah umur dapat ditangani sehingga di peringkat akar umbi,” katanya menerusi jawapan bertulis pada Khamis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Jawapan itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan statistik perkahwinan kanak-kanak di Malaysia untuk lima tahun terkini.
Dr Ahmad Yunus turut bertanya sama ada Kerajaan bercadang mengkaji semula ketetapan umur minimum perkahwinan dalam semua undang-undang sama ada sivil, syariah dan adat.
Mengulas lanjut, KPWKM berkata pihaknya sentiasa menyokong cadangan bagi mengetatkan lagi prosedur perkahwinan bawah umur bagi melindungi kanak-kanak.
“Memahami Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum yang mempunyai adat, budaya dan agama yang berbeza, perundingan dan sesi libat urus bersama pakar kanak-kanak, pakar budaya dan pakar syari’e akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pandangan semua pihak diambil kira khususnya dalam penetapan had umur minimum perkahwinan.
“Pada masa sama, perlu difahami bahawa hal ini adalah terbahagi di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta undang-undang adat.
“KPWKM sentiasa menyokong cadangan bagi mengetatkan lagi prosedur perkahwinan bawah umur bagi melindungi kanak-kanak,” katanya. — The Merdeka Times
