Terkini
Tiada pengecualian garis panduan derma sekolah – Fadhlina
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menolak memberikan sebarang pengecualian atau menyemak semula garis panduan yang melarang sekolah menerima dana daripada hasil penjualan produk tembakau dan minuman keras.
- Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menolak memberikan sebarang pengecualian atau menyemak semula garis panduan yang melarang sekolah menerima dana daripada hasil penjualan produk tembakau dan minuman keras.
- Fadhlina berkata walaupun semua sumbangan dialu-alukan, namun mesti mengikut garis panduan kementerian.
- “Jadi nasihat saya, patuhi garis panduan tersebut.
- “Dan juga sekolah mesti memastikan bahawa tanggungjawab itu berada di peringkat pentadbir untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya dipetik Malaysiakini pada Selasa.
- KPM sebelum ini mengatakan pihaknya sedang menyiasat isu penganjuran program konsert amal di sekolah Cina yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras baru-baru ini.
KUALA LUMPUR — Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menolak memberikan sebarang pengecualian atau menyemak semula garis panduan yang melarang sekolah menerima dana daripada hasil penjualan produk tembakau dan minuman keras.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata walaupun semua sumbangan dialu-alukan, namun mesti mengikut garis panduan kementerian.
Beliau turut mengulangi pentingnya mematuhi garis panduan tersebut ketika diajukan pertanyaan sama ada terdapat pengecualian bagi sekolah vernakular.
“Jadi nasihat saya, patuhi garis panduan tersebut.
“Dan juga sekolah mesti memastikan bahawa tanggungjawab itu berada di peringkat pentadbir untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya dipetik Malaysiakini pada Selasa.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Isnin diminta memberi peruntukan sama rata kepada semua sekolah sekiranya kementerian itu khuatir ada dana tertentu yang tidak wajar disalurkan kepada institusi tersebut.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata mengehadkan sumber derma kepada sekolah vernakular adalah sama seperti mengekang peluang pembangunan institusi itu.
Ia susulan KPM mengatakan pihaknya sedang menyiasat isu penganjuran program konsert amal di sekolah Cina yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras baru-baru ini.
KPM menjelaskan sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani adalah dilarang berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.
Justeru, kementerian itu mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan KPM supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.
Mengulas kenyataan MCA berkenaan semua sekolah perlu menerima pembiayaan kerajaan sama rata sekiranya terdapat kebimbangan mengenai sumber pembiayaan, Fadhlina meminta parti politik itu melihat semula kepada dasar sedia ada.
“MCA kena tengok balik apa peraturan dan dasar polisi yang telah berjalan. Dia mesti tahu apa kategori-kategori sekolah. Jadi pembiayaan sama rata itu maknanya mesti balik kepada polisi sedia ada,” katanya.
Menjawab pertanyaan sekiranya garis panduan itu akan dikaji semula, Fadhlina mengatakan bahawa garis panduan tersebut akan kekal.
“Sekali lagi saya tegaskan sekolah milik masyarakat. Kita alu-alukan semua sumbangan tetapi garis panduan itu yang akan kita bantu. Termasuk pihak-pihak yang ingin memberikan sumbangan itu supaya ia selaras dengan garis panduan kita,” katanya.
Pada masa sama, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam dilaporkan berkata isu pemberian sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina akan dibawa ke mesyuarat Kabinet hari ini dan penjelasan akan diberikan kepada Jemaah Menteri.
Loke berkata perkara berkenaan tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pembabitan syarikat minuman keras bagi membantu mengumpul dana untuk sekolah Cina sudah berlaku sejak 30 tahun lalu.
“Selama ini tidak timbul sebarang masalah, kenapa sekarang baharu nak jadikan isu? Ini sesuatu yang mesti kita faham bahawa ini bukan perkara baharu,” katanya. — The Merdeka Times