Connect with us

Terkini

Minggu Solidariti Palestin: Dakwaan guru, sekolah terap budaya ekstremis satu tuduhan berat – Pemuda PAS

Pemuda PAS kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang terang-terangan dilihat mengecam guru dan murid berhubung isu pemakaian mereka sempena Minggu Solidariti Palestin peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Minggu Solidariti Palestin: Dakwaan guru, sekolah terap budaya ekstremis satu tuduhan berat – Pemuda PAS
Foto: Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hafez Sabri.
  • Pemuda PAS kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang terang-terangan dilihat mengecam guru dan murid berhubung isu pemakaian mereka sempena Minggu Solidariti Palestin peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
  • Timbalan Ketua Pemudanya, Hafez Sabri menggesa kecaman itu dihentikan kerana dakwaan guru dan sekolah menerapkan budaya ekstremis dan keganasan sewaktu mengetengahkan situasi semasa di Palestin merupakan tuduhan berat.
  • Hafez berkata inisiatif itu merupakan satu langkah pendidikan untuk anak-anak sedar dan memahami isu besar sedang melanda umat Islam ketika ini. 
  • “Pemuda PAS merasakan pemimpin DAP seperti inilah yang layak digelar ekstremis kerana dilihat bersungguh-sungguh ‘menutup’ penderitaan anak-anak Palestin yang diratah dan dibunuh atas nama keamanan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
  • Pada Sabtu lalu, Nga Kor Ming menerusi ciapan di platform X memuat naik gambar dua murid sekolah berserban menutup wajah dan memegang senjata replika, beliau berkata sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremis dan keganasan sebaliknya sifat manusiawi dan perasaan cinta keamanan perlu diketengahkan.

KUALA LUMPURPemuda PAS kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang terang-terangan dilihat mengecam guru dan murid berhubung isu pemakaian mereka sempena Minggu Solidariti Palestin peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Timbalan Ketua Pemudanya, Hafez Sabri menggesa kecaman itu dihentikan kerana dakwaan guru dan sekolah menerapkan budaya ekstremis dan keganasan sewaktu mengetengahkan situasi semasa di Palestin merupakan tuduhan berat.

Hafez berkata inisiatif itu merupakan satu langkah pendidikan untuk anak-anak sedar dan memahami isu besar sedang melanda umat Islam ketika ini.  

“Tidak cukup dengan pertikaian, pemimpin DAP bertaraf Menteri ini telah mengecam dan mengugut pihak berkaitan yang dikatakan menyalahguna kuasa untuk diambil tindakan dek kerana anak murid dan guru ini memakai kostum ‘perang’ dengan laungan kalimah yang membangkit semangat melawan musuh kejam seperti Zionis. 

“Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya wujud kerana seharusnya pemimpin DAP bertaraf Menteri ini maklum tentang pendirian kerajaan Malaysia yang bersama rakyat Palestin dan menentang keganasan Zionis Israel. 

“Pemuda PAS merasakan pemimpin DAP seperti inilah yang layak digelar ekstremis kerana dilihat bersungguh-sungguh ‘menutup’ penderitaan anak-anak Palestin yang diratah dan dibunuh atas nama keamanan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hafez berkata cukuplah dengan kekesalan apabila usul mengecam kekejaman Zionis itu tidak dibahaskan di dalam Parlimen, kini anak murid dan guru pula dikecam dan diugut untuk diambil tindakan hanya kerana ‘membahaskan’ tentang kebenaran perjuangan Palestin.

Beliau menegaskan kepada Nga Kor Ming agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kepada guru-guru dan anak-anak murid yang cakna dengan isu Palestin. 

Katanya, isu itu bukan semata-mata melibatkan hal keagamaan, namun juga melibatkan nilai kemanusiaan yang mana penting untuk diketahui dan difahami semua peringkat umur bagi menentang naratif salah pihak musuh.

Pada Sabtu lalu, Nga Kor Ming menerusi ciapan di platform X memuat naik gambar dua murid sekolah berserban menutup wajah dan memegang senjata replika, beliau berkata sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremis dan keganasan sebaliknya sifat manusiawi dan perasaan cinta keamanan perlu diketengahkan.

Kor Ming berkata kelompok yang menyalahgunakan kuasa dan bertanggungjawab wajib dikenakan tindakan disiplin.

Media melaporkan DAP terkilan dengan penganjuran program di sekolah rendah yang didakwa mengandungi unsur-unsur keganasan dan ekstremisme dengan penggunaan replika senjata seperti yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

Sehubungan itu, setiausaha agungnya Anthony Loke menggesa KPM mengambil tindakan tatatertib terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi mengelak ia berulang.

Sekumpulan tiga Ahli Parlimen dan sembilan Adun PKR turut menggesa kementerian itu mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam.

Terdahulu, KPM melarang sebarang penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi sepanjang Minggu Solidariti Palestin, termasuk pihaknya tidak akan berkompromi dengan aktiviti berbentuk ekstremisme dan keganasan. 

KPM turut mengesahkan video tular di media sosial mengenai program di sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dianjurkan di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan ditetapkan kementerian.— The Merdeka Times

Sumber : Facebook Pemuda Pas Malaysia

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *