Terkini
Sekolah khas anak keluarga miskin timbulkan kesan psikologi
Cadangan mewujudkan sekolah khas untuk anak keluarga miskin boleh menimbulkan kesan tidak baik dalam masyarakat, selain dilihat seolah-olah wujud ‘sistem kasta’ di negara ini.
- Cadangan mewujudkan sekolah khas anak keluarga miskin boleh menimbulkan kesan tidak baik dalam masyarakat, selain dilihat seolah-olah wujud ‘sistem kasta’ di negara ini.
- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, menyifatkan langkah berkenaan sebagai kurang praktikal untuk dilaksanakan.
- Beliau berkata, penyediaan sekolah yang membezakan latar belakang ibu bapa dan pelajar bukan satu pendekatan yang baik kerana dikhuatiri menimbulkan kesan psikologi terhadap golongan miskin.
- Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata apa yang penting ialah kerajaan memperbanyakkan insentif dan bantuan kepada pelajar kategori miskin.
TONGOD: Cadangan mewujudkan sekolah khas untuk anak keluarga miskin boleh menimbulkan kesan tidak baik dalam masyarakat, selain dilihat seolah-olah wujud ‘sistem kasta’ di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata berikutan itu beliau menyifatkan langkah berkenaan sebagai kurang praktikal untuk dilaksanakan.
Beliau berkata, penyediaan sekolah yang membezakan latar belakang ibu bapa dan pelajar bukan satu pendekatan yang baik kerana dikhuatiri menimbulkan kesan psikologi terhadap golongan miskin.
Katanya, penubuhan sekolah khas itu memerlukan kerajaan menyediakan kos yang besar untuk melaksanakannya ketika masih banyak aspek lain yang memerlukan perhatian seperti sekolah daif di Sabah dan Sarawak.
“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, lebih baik kerajaan menaik taraf sekolah daif berbanding menubuhkan sekolah khas yang memerlukan kos lebih tinggi.
“Walaupun tujuannya baik, ia tidak relevan dilaksanakan ketika ini kerana terdapat ratusan sekolah dan asrama daif khususnya di Sabah dan Sarawak masih menanti untuk dibaik pulih.
“Pendekatan itu harus dikaji kerana ia juga boleh memberi kesan psikologi yang kurang baik kepada pelajar dan ibu bapa daripada golongan miskin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas cadangan Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengenai penubuhan sekolah khas untuk anak keluarga miskin yang dijangka dimulakan tahun depan.
Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata apa yang penting ialah kerajaan memperbanyakkan insentif dan bantuan kepada pelajar kategori miskin.
“Bantuan itu hendaklah sampai kepada golongan sasar tanpa wujud birokrasi. Saya tidak fikir ramai ibu bapa mahu menghantar anak mereka ke sekolah yang bergelar sekolah pelajar termiskin.
“Mereka harus didedahkan dengan pendekatan lebih baik untuk belajar dalam kalangan rakan sebaya mereka tanpa perlu melabelkan taraf peribadi pelajar terbabit,” katanya.
Tongod yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut diwakili Masiung adalah antara daerah termiskin di seluruh negara berikutan ramai penduduknya berada di bawah garis kemiskinan.
Sumber: Berita Harian