Terkini
Malaysia komited promosi penghormatan dan perlindungan al-Quran
Sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia terus komited mempromosikan penghormatan dan perlindungan terhadap al-Quran serta memerangi sentimen Islamofobia yang semakin meningkat.
- Sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia terus komited mempromosikan penghormatan dan perlindungan terhadap al-Quran serta memerangi sentimen Islamofobia yang semakin meningkat.
- Kenyataan itu disampaikan pada Isnin oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Luar Biasa ke-18 Majlis Menteri-menteri Luar Negeri (FM) Negara-Negara Anggota OIC mengenai Jenayah Berulang Penghinaan dan Pembakaran Salinan Al-Mushaf Al-Sharif di Sweden dan Denmark.
- Sesi itu juga menerima pakai resolusi mengenai Jenayah Berulang Penghinaan dan Pembakaran Salinan Al-Mushaf Al-Sharif di Sweden dan Denmark.
- Antara intipati utama resolusi itu adalah mengutuk sekeras-kerasnya kejadian berulang menghina dan membakar kitab suci al-Quran, menegaskan semua negara-negara anggota OIC mengutamakan agenda memerangi Islamofobia, dan memastikan agenda ini sentiasa diberi penekanan di platform antarabangsa, iaitu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Hak Asasi Manusia.
PUTRAJAYA — Sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia terus komited mempromosikan penghormatan dan perlindungan terhadap al-Quran serta memerangi sentimen Islamofobia yang semakin meningkat.
Kenyataan itu disampaikan pada Isnin oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Luar Biasa ke-18 Majlis Menteri-menteri Luar Negeri (FM) Negara-Negara Anggota OIC mengenai Jenayah Berulang Penghinaan dan Pembakaran Salinan Al-Mushaf Al-Sharif di Sweden dan Denmark.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Selasa, agenda utama Sesi Luar Biasa yang diadakan secara maya itu adalah untuk membincangkan insiden penghinaan kitab suci al-Quran yang berulang di Sweden dan Denmark.
“Timbalan Menteri menyampaikan kenyataan Malaysia, yang menekankan pentingnya mematuhi prinsip universal menghormati semua agama dan kitab suci mereka, dan bagi semua pihak untuk bekerjasama dalam menangani isu Islamofobia demi menonjolkan imej sebenar Islam iaitu keamanan, kesederhanaan dan toleransi,” menurut kenyataan itu.
Sebanyak 32 negara menyampaikan kenyataan negara masing-masing dan sebulat suara mengutuk kejadian-kejadian penghinaan dan pembakaran al-Quran yang berlaku di beberapa negara serta menyeru kerajaan-kerajaan berkenaan untuk mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan.
Sesi itu juga menerima pakai resolusi mengenai Jenayah Berulang Penghinaan dan Pembakaran Salinan Al-Mushaf Al-Sharif di Sweden dan Denmark.
Antara intipati utama resolusi itu adalah mengutuk sekeras-kerasnya kejadian berulang menghina dan membakar kitab suci al-Quran, menegaskan semua negara-negara anggota OIC mengutamakan agenda memerangi Islamofobia, dan memastikan agenda ini sentiasa diberi penekanan di platform antarabangsa, iaitu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Hak Asasi Manusia.
Sesi yang berlangsung di Jeddah itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Mauritania, Mohamed Salem Ould Merzoug yang juga pengerusi semasa OIC FM, menurut kenyataan itu.
Pada 24 Julai, OIC mengkritik tindak balas Sweden dan Denmark terhadap penghinaan al-Quran yang berulang pada Isnin, sementara pemimpin Sweden menyatakan bahawa kedua-dua negara sedang berbincang mengenai kemungkinan larangan atas tindakan sedemikian.
OIC pada Isnin mengadakan mesyuarat untuk membincangkan penghinaan Quran dan menyatakan “kekecewaan” terhadap respons Sweden dan Denmark.
Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha, menyeru kedua-dua negara terbabit untuk mencegah penghinaan Quran dan “menyatakan kekecewaannya kerana tiada langkah-langkah diambil dalam hal ini sehingga kini,” menurut OIC. – BERNAMA
Sumber : Bernama