Terkini
Pemuda dari Johor Bahru antara penterjemah termuda di Masjidil Haram
Meskipun tidak memiliki kelulusan sekurang-kurang ijazah pascasiswazah dalam syarat ketat yang ditetapkan, Muhammad Mujahid Zaharuddin tetap berjaya dipilih sebagai penterjemah di Masjidil Haram bersandarkan sokongan kelebihan lain yang dimilikinya.
- Meskipun tidak memiliki kelulusan sekurang-kurang ijazah pascasiswazah dalam syarat ketat yang ditetapkan, Muhammad Mujahid Zaharuddin tetap berjaya dipilih sebagai penterjemah di Masjidil Haram bersandarkan sokongan kelebihan lain yang dimilikinya.
- Pemuda berusia 26 tahun yang berasal dari Johor Bahru itu melepasi persaingan sengit dalam pemilihan terbabit, antara lain dengan lulus peperiksaan di Jabatan Agama Makkah dengan mencatatkan markah 100, menghafaz al-Quran sepenuhnya, serta menghafal antara 3,000 hingga 4,000 hadis yang disepakati Muslim dan Al-Bukhari.
- “Saya adalah antara penterjemah paling muda di Masjidil Haram, dan satu-satunya yang hanya memiliki ijazah pertama dalam kalangan keseluruhan empat penterjemah bagi kategori bahasa Indonesia serta bahasa Melayu yang bertugas di pejabat,” katanya.
- Muhammad Mujahid menjelaskan, tugas penterjemahan terbabit perlu dilakukan secara teliti kerana ia turut berkait secara langsung dengan Kementerian Haji dan Umrah serta kementerian lain di Arab Saudi.
MAKKAH: Meskipun tidak memiliki kelulusan sekurang-kurang ijazah pascasiswazah dalam syarat ketat yang ditetapkan, Muhammad Mujahid Zaharuddin tetap berjaya dipilih sebagai penterjemah di Masjidil Haram bersandarkan sokongan kelebihan lain yang dimilikinya.
Pemuda berusia 26 tahun yang berasal dari Johor Bahru itu melepasi persaingan sengit dalam pemilihan terbabit, antara lain dengan lulus peperiksaan di Jabatan Agama Makkah dengan mencatatkan markah 100, menghafaz al-Quran sepenuhnya, serta menghafal antara 3,000 hingga 4,000 hadis yang disepakati Muslim dan Al-Bukhari.
Selain itu, pemilihan berkenaan juga mengambil kira rekod pencapaian Muhammad Mujahid sebagai lulusan ijazah pertama daripada Universiti Umm Al-Qura, Makkah, dalam bidang syariah.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu berada di Makkah sejak 2016, termasuk mengikuti pengajian Diploma Bahasa Arab, selepas meraih keputusan cemerlang semua A untuk 11 subjek diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2014 sebagai calon aliran sains daripada Sekolah Menengah Islam Hidayah di Johor Bahru.
Beliau berkesempatan memasuki Program Asasi Pendidikan Islam di Universiti Malaya (UM) Kampus Nilam Puri, Kelantan, selama kira-kira satu semester sebelum menerima panggilan untuk mendaftar pengajian di Universiti Umm Al-Qura.
“Selepas tamat pengajian pada Jun tahun lalu, saya memohon untuk menjadi penterjemah di Masjidil Haram dan mula berkhidmat secara kontrak tahunan sejak Oktober.
“Saya adalah antara penterjemah paling muda di Masjidil Haram, dan satu-satunya yang hanya memiliki ijazah pertama dalam kalangan keseluruhan empat penterjemah bagi kategori bahasa Indonesia serta bahasa Melayu yang bertugas di pejabat,” katanya.
Secara umum, Muhammad Mujahid berkata, penterjemah di Masjidil Haram dibahagikan kepada 10 kategori bahasa. Kira-kira lapan penterjemah ditugaskan dalam setiap kategori bahasa, membabitkan masing-masing empat di pejabat dan di lapangan.
Beliau berkata, antara bidang tugas utamanya bersama rakan penterjemah di pejabat ialah menterjemahkan khutbah Jumaat, Hari Raya, Hari Arafah dan solat istimewa seperti gerhana matahari serta bulan, yang akan dimuatkan ke dalam portal khusus: https://manaratalharamain.gov.sa.
Katanya, antara cabaran utama dihadapi ialah melakukan penterjemahan secara langsung tanpa disediakan teks awal, terutama syarahan oleh Ketua Presiden bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais.
Muhammad Mujahid menjelaskan, tugas penterjemahan terbabit perlu dilakukan secara teliti kerana ia turut berkait secara langsung dengan Kementerian Haji dan Umrah serta kementerian lain di Arab Saudi.
Beliau berkahwin dengan Nur Hidayah Idris, juga berasal dari Johor Bahru, pada 2021 dan menimang cahaya mata pertama dinamakan Adam kira-kira tiga minggu lalu, selain telah menunaikan haji pada 2016 dan 2022 ketika sedang mengikuti pengajian di Makkah.
Katanya, beliau sedang membuat persiapan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana, selain berhasrat mengikuti pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) serta menceburi kerjaya sebagai pensyarah di universiti Malaysia pada masa depan.
Sumber: Berita Harian