Connect with us

Terkini

Tauke vape jadi Ahli Lembaga Pelawat Hospital: ‘KKM nak dia lihat sendiri pesakit paru-paru ditebuk’ – Profesor Haniki

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed dari Jabatan Amalan Farmasi, Kuliyyah Farmasi, UIAM
  • Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed secara sinis berkata pelantikan itu mungkin kerana KKM berhasrat pengusaha vape melihat sendiri pesakit dimasukkan ke hospital akibat pelbagai penyakit berkaitan rokok elektronik.
  • Pengusaha vape juga boleh berdepan terus dengan kaum keluarga yang kehilangan orang tersayang angkara vape.
  • “Kos berkaitan rawatan pesakit angkara vape juga boleh terus dibiayai pengusaha vape tersebut tanpa membebankan pembayar cukai ataupun kerajaan,” sindir Mohamad Haniki.

KUALA LUMPUR — Dakwaan berlakunya pelantikan seorang tokoh terkemuka dalam industri vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau, Negeri Sembilan menerima respons sinis daripada Profesor dari Jabatan Amalan Farmasi, Kulliyyah Farmasi, UIAM.

Bercakap kepada The Merdeka Times di sini hari ini, Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed secara menyindir berkata pelantikan itu mungkin kerana Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat agar pengusaha vape melihat sendiri pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat pelbagai penyakit berkaitan rokok elektronik, termasuk kecederaan paru-paru atau ‘e-cigarette or vaping product use-associated lung injury’ (EVALI).

“Ada baiknya jika pengusaha vape tu melihat dengan mata kepala dia sendiri pesakit yang ditebuk paru-paru, mengalami jangkitan teruk ataupun diambang maut seperti mana video Allahyarham Radzi?  yang tular baru-baru ini.

“Pengusaha vape sebegini juga boleh berdepan terus dengan kaum keluarga yang kehilangan orang tersayang angkara vape.

“Kos berkaitan rawatan pesakit angkara vape juga boleh terus dibiayai pengusaha vape tersebut tanpa membebankan pembayar cukai ataupun kerajaan,” sinis Mohamad Haniki yang sememangnya lantang dalam menyuarakan isu vape, termasuk kesan buruk penggunaannya.

Video dimaksudkan beliau adalah merujuk kepada kisah seorang lelaki berusia 44 tahun yang dilaporkan mengalami komplikasi jantung serius selepas bertahun-tahun menghisap vape dan sempat merakam mesej menyayat hati meminta orang ramai berhenti daripada tabiat itu, hanya beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia pada Mei lalu.

Sementara, nada sindiran itu ditujukan kepada dakwaan seorang tokoh terkemuka dalam industri vape yang juga pengerusi kepada sebuah syarikat rokok elektronik, bernama Adzwan Abdul Manas yang dilapor telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau.

Surat pelantikan Adzwan yang telah ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad itu dapat dilihat di Facebook miliknya sendiri yang dimuat naiknya pada 23 Jun lalu.

Adzwan tengah hari tadi bagaimanapun menulis satu hantaran Facebook yang memaklumkan beliau telah melepaskan jawatan berkenaan yang pada awalnya diterima untuk membantu hubungan dua hala antara pesakit dan hospital.

Beliau memutuskan untuk meletak jawatan selepas memikirkan tentang impak dan pandangan negatif yang akan diterima disebabkan perniagaan vape.

Perkembangan itu diberitahu beliau tanpa menyatakan secara jelas tarikh peletakan jawatan tersebut. — The Merdeka Times

Author