Terkini
‘Tauke’ vape dilantik Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau

- Surat pelantikan Datuk Adzwan Abdul Manas yang ditandatangani Menteri Kesihatan dapat dilihat di Facebook milik Adzwan sendiri yang memuat naiknya pada 23 Jun lalu.
- Adzwan merupakan Pengerusi VEmpire, sebuah syarikat terlibat dalam pengeluaran dan pembekalan produk vape ke pasaran tempatan dan luar negara.
- Beliau juga Presiden Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA), yang dilapor aktif menolak larangan penjualan vape secara total di negara ini.
- Ahli Lembaga Pelawat Hospital bertanggungjawab menjelaskan isu berkaitan sistem penyampaian perkhidmatan hospital kepada orang awam dari semasa ke semasa bagi menjaga nama dan imej hospital serta mengelakkan tanggapan negatif dalam kalangan komuniti.
KUALA LUMPUR — Seorang tokoh terkemuka dalam industri vape yang juga pengerusi kepada sebuah syarikat rokok elektronik didakwa telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau, Negeri Sembilan.
Surat pelantikan individu terbabit, Datuk Adzwan Abdul Manas yang telah ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dapat dilihat di Facebook milik Adzwan sendiri yang memuat naiknya pada 23 Jun lalu.
Surat bertarikh 27 Mei 2025 itu antara lain menyatakan Adzwan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau bagi tempoh 1 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2027.
Adzwan merupakan Pengerusi VEmpire, sebuah syarikat yang terlibat dalam pengeluaran dan pembekalan produk vape ke pasaran tempatan dan luar negara. Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA), yang dilapor aktif menolak larangan penjualan vape secara total di negara ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dato Adzwan Abdul Manas.
Pelantikan beliau itu dibuat selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2025 Penambahbaikan Pelantikan Dan Peranan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia.
Tinjauan The Merdeka Times hari ini di laman web rasmi Hospital Rembau mendapati nama Adzwan, turut tersenarai sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pelawat Hospital berkenaan.
Ia sekaligus mengesahkan pelantikan beliau itu.

Foto: Senarai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau yang tertera di laman web rasmi hospital itu.
Antara peranan utama Ahli Lembaga Pelawat Hospital adalah menjadi ejen penghubung antara hospital dan komuniti bagi menyebar luas maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh hospital.
Ahli Lembaga juga bertanggungjawab menjelaskan isu berkaitan sistem penyampaian perkhidmatan hospital kepada orang awam dari semasa ke semasa bagi menjaga nama dan imej hospital serta mengelakkan tanggapan negatif dalam kalangan komuniti.

Foto: Tangkap layar latar belakang Adzwan yang disiarkan di laman web VEmpire.
Bagaimanapun, pelantikan tokoh industri vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital itu dilihat akan menimbulkan pertikaian, khususnya melibatkan isu ketidaksesuaian.
Ini kerana industri vape sekarang dilihat menjadi ancaman serius kepada kesihatan awam. — The Merdeka Times
