Antarabangsa
Mahkamah UK dikecam, Benar eksport senjata F-35 ke Israel

- Mahkamah Tinggi UK membenarkan eksport komponen F-35 ke Israel walaupun berdepan dakwaan penggunaannya dalam jenayah perang di Gaza.
- Semakan kehakiman oleh Al-Haq dan GLAN ditolak, dengan mahkamah menyatakan dasar eksport senjata adalah bidang kuasa kerajaan, bukan mahkamah.
- UK menyumbang sekitar 15% komponen setiap jet F-35 yang digunakan oleh Israel dalam serangan ke atas Gaza.
- NGO dan aktivis hak asasi mengecam keputusan sebagai pengecut dan bukti kegagalan melindungi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
- Jeremy Corbyn dan ahli Parlimen lain mendesak siasatan bebas serta undian Parlimen terhadap peranan UK dalam konflik Gaza.
LONDON — Keputusan Mahkamah Tinggi United Kingdom yang membenarkan eksport komponen jet pejuang F-35 ke Israel telah mencetuskan kecaman meluas, di tengah-tengah dakwaan penglibatan Israel dalam genosid di Gaza.
Semakan kehakiman yang difailkan oleh Pertubuhan Hak Asasi Manusia Palestin, Al-Haq, dan Rangkaian Tindakan Undang-Undang Global (GLAN) yang berpangkalan di UK, mencabar tindakan kerajaan Britain meneruskan bekalan komponen kepada Israel, walaupun kerajaan sendiri mengakui ia boleh digunakan dalam pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.
Dalam penghakiman setebal 72 muka surat yang dikeluarkan semalam, Lord Justice Males dan Mrs Justice Steyn memutuskan bahawa menteri-menteri kerajaan berada dalam hak mereka untuk meneruskan eksport tersebut.
Mahkamah menolak kesemua 13 hujah yang dibawa oleh plaintif dan menyatakan bahawa dasar eksport senjata adalah kuasa eksekutif dan bukan bidang kuasa kehakiman.
Organisasi Campaign Against Arms Trade (CAAT) menyelar keputusan itu sebagai “pengecut”, mendakwa sistem kehakiman gagal mempertahankan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Britain menyumbang kira-kira 15 peratus daripada setiap jet F-35, dengan komponen tersebut disalurkan melalui rantaian bekalan global yang dikendalikan oleh Lockheed Martin dari Amerika Syarikat, dan kemudiannya diagihkan kepada negara anggota program termasuk Israel.
Walaupun kerajaan UK yang diterajui Parti Buruh telah menggantung 30 lesen eksport senjata kepada Israel pada September lalu, eksport komponen F-35 tetap diteruskan atas alasan kepentingan pertahanan negara dan kesetiaan kepada NATO.
Penghakiman mahkamah turut mengakui risiko serius bahawa komponen buatan UK boleh digunakan dalam kekejaman terhadap rakyat Palestin.
“Keputusan ini mengesahkan apa yang kami khuatiri, rakyat Gaza kini tidak lagi dilindungi oleh undang-undang antarabangsa, bukan kerana undang-undang itu tidak wujud, tetapi kerana UK enggan melaksanakannya,” ujar Yasmine Ahmed, Pengarah Human Rights Watch UK.
Sara Husseini dari Jawatankuasa British-Palestin pula berkata, kini tanggungjawab berpindah kepada Parlimen dan rakyat untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab.
Walaupun kalah dalam semakan kehakiman, Al-Haq dan GLAN menyatakan mereka sedang mempertimbangkan rayuan.
Keputusan itu juga mencetuskan desakan baharu untuk akauntabiliti politik.
Bekas ketua Parti Buruh, Jeremy Corbyn, menggesa siasatan bebas Parlimen terhadap penglibatan UK dalam perang Israel ke atas Gaza, termasuk aspek eksport senjata, perkongsian risikan dan penggunaan pangkalan tentera udara Britain.
Dalam usul peribadi 10 minit yang dibentangkannya bulan lalu, Corbyn menyatakan bahawa UK “bersekongkol dalam jenayah perang” dan gagal menzahirkan ketelusan dalam urusan penjualan senjata ketika kempen genosid sedang berlangsung.
“Rakyat berhak tahu sejauh mana penglibatan kerajaan kita. Ini tidak boleh disembunyikan,” katanya di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Richard Burgon turut mendesak supaya undian segera diadakan di Parlimen.
“Sudah tiba masanya kerajaan ambil tanggungjawab moral sama ada mahu terus terlibat dalam genosid, atau bertindak menghentikannya.” -The Merdeka Times
