Antarabangsa
Leher remaja dikelar hingga mati di hospital: Doktor rakam, Tiada siapa bertindak

- Sandhya Chaudhary, 19 tahun, dibunuh secara terbuka oleh lelaki di hospital kerajaan Narsinghpur, India.
- Pembunuhan berlaku di hadapan doktor dan kakitangan hospital, namun tiada yang campur tangan; seorang doktor merakam insiden tersebut.
- Keluarga dan penduduk tempatan memprotes, menuntut tindakan tegas atas kecuaian keselamatan hospital.
INDIA – Satu insiden pembunuhan kejam yang menggemparkan berlaku di sebuah hospital kerajaan daerah di Narsinghpur, Madhya Pradesh pada 27 Jun lalu apabila seorang lelaki bertindak mengelar leher seorang remaja perempuan berusia 19 tahun secara terbuka sambil dirakam oleh doktor tanpa sebarang usaha untuk menghalang kejadian tersebut.
Mangsa dikenali sebagai Sandhya Chaudhary, seorang pelajar Tingkatan 6, maut di tempat kejadian selepas diserang oleh Abhishek Koshti, seorang lelaki yang dipercayai obses terhadapnya.
Rakaman video insiden berdarah itu mula tular pada Isnin lalu dan menunjukkan suspek bertindak menampar, menjatuhkan dan menindih dada mangsa sebelum mengelar lehernya dengan pisau.
Semuanya dilakukan di sayap kecemasan hospital, di hadapan orang awam dan petugas hospital.
Lebih mengejutkan, tiada seorang pun cuba menghentikan tindakan suspek meskipun dua pengawal keselamatan dilaporkan berada di luar pusat trauma ketika kejadian.
Beberapa kakitangan termasuk doktor, jururawat dan pembantu hospital hanya memandang atau berlalu begitu sahaja tanpa campur tangan.
Serangan yang berlaku selama kira-kira 10 minit itu berakhir apabila suspek cuba mengelar lehernya sendiri namun gagal, kemudian melarikan diri dari hospital dengan menaiki motosikal yang telah diparkir di luar.
Difahamkan, Sandhya keluar dari rumah kira-kira jam 2 petang dengan alasan melawat isteri kepada rakan abangnya di wad bersalin.
Suspek pula dipercayai telah menunggu di kawasan hospital sejak tengah hari dan mereka dilihat berbual sebentar sebelum berlaku konfrontasi.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Keluarganya hanya dimaklumkan sekitar jam 3:30 petang dan apabila tiba di hospital, mayat mangsa masih berada di tempat kejadian tanpa sebarang tindakan lanjut daripada pihak berkuasa hospital.
Insiden itu mencetuskan kemarahan awam.
Keluarga mangsa dan penduduk tempatan bertindak menutup jalan di hadapan hospital sebagai bantahan. Demonstrasi hanya reda menjelang jam 10:30 malam namun tercetus semula sehingga jam 2 pagi sebelum pihak berkuasa memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuai.
Tragedi ini telah mencetuskan persoalan besar mengenai keselamatan awam dan tahap keprihatinan institusi perubatan dalam menangani situasi kecemasan, sekali gus mencabar kredibiliti sistem keselamatan di hospital kerajaan. -The Merdeka Times
