Connect with us

Terkini

Dr Anita gesa agamawan main peranan atasi isu chemsex dan jangkitan HIV

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Presiden Rangkaian Tindakan Pengurangan Kemudaratan (HaRAN), Dr Anita Suleiman
  • Fenomena ‘chemsex’ atau penggunaan dadah untuk tujuan seksual kini punca utama peningkatan jangkitan HIV akibat aktiviti seks berisiko tinggi yang sukar dikawal.
  • Menurut Presiden Rangkaian Tindakan Pengurangan Kemudaratan (HaRAN), Dr Anita Suleiman, individu terlibat aktiviti chemsex sering hilang pertimbangan akibat pengaruh dadah, menyebabkan mereka gagal melindungi diri daripada jangkitan penyakit kelamin termasuk HIV.
  • Masalah ketagihan dadah dalam kalangan pengamal chemsex sukar dirawat kerana tiada ubat khusus seperti metadon yang digunakan untuk penagih heroin.
  • Ramai mahu berubah, tetapi tidak tahu bagaimana. Di sinilah peranan agamawan perlu diperkasakan untuk bantu dari sudut spiritual.

KUALA LUMPUR – Fenomena ‘chemsex’ atau penggunaan dadah untuk tujuan seksual kini menjadi punca utama peningkatan jangkitan HIV akibat aktiviti seks berisiko tinggi yang sukar dikawal.

Presiden Rangkaian Tindakan Pengurangan Kemudaratan (HaRAN), Dr Anita Suleiman menggesa agar para agamawan memainkan peranan penting dalam usaha menyelesaikan isu ini.

Menurut Dr Anita, individu yang terlibat dalam aktiviti chemsex sering hilang pertimbangan akibat pengaruh dadah, menyebabkan mereka gagal melindungi diri daripada jangkitan penyakit kelamin termasuk HIV.

“Apabila seseorang itu di bawah pengaruh dadah, fungsi kognitifnya terjejas. Walaupun kondom disediakan di depan mata, memastikan ia digunakan adalah sesuatu yang mustahil. Dadah menyebabkan kita hilang pertimbangan dan meletakkan diri dalam risiko jangkitan HIV,” jelas beliau ketika berucap pada Persidangan Meja Bulat Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan di sebuah hotel di sini, semalam.

Dr Anita turut menegaskan bahawa kegagalan penggunaan kondom dalam kalangan pengamal chemsex menjadikan profilaksis pra-pendedahan (PrEP) sebagai langkah perlindungan terakhir bagi mengelak jangkitan HIV.

“PrEP adalah pilihan terakhir jika tidak mampu mengelak daripada dadah atau seks berisiko,” tambahnya.

Namun begitu, beliau mengakui masalah ketagihan dadah dalam kalangan pengamal chemsex sukar dirawat kerana tiada ubat khusus seperti metadon yang digunakan untuk penagih heroin.

Oleh itu, pendekatan bimbingan berterusan amat diperlukan.

Dr Anita turut meluahkan rasa sedih apabila ramai penagih yang ingin keluar daripada ketagihan tetapi kekurangan pusat kaunseling dan sokongan yang mencukupi.

“Ramai yang mahu berubah, tetapi mereka tidak tahu bagaimana. Di sinilah peranan agamawan perlu diperkasakan untuk membantu dari sudut spiritual,” gesa beliau.

Gesaan Dr Anita ini membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara pihak agama, kesihatan dan komuniti dalam menangani isu chemsex yang semakin membimbangkan, sekaligus mengurangkan risiko jangkitan HIV di negara ini. — The Merdeka Times

Author