Antarabangsa
(VIDEO) Lepas kebakaran besar, hujan batu, banjir luar biasa pula landa Israel

BAITULMAQDIS – Belum pun selesai kerja-kerja pembersihan dan pemulihan akibat kebakaran hutan besar-besaran, negara haram Israel ditimpa pula dengan hujan batu dan banjir besar.
Pihak berkuasa Israel telah menutup dua lebuh raya terpanjang negara itu, selepas banjir melanda kawasan selatan, menambah lagi kemusnahan yang berlaku akibat kebakaran hutan baru-baru ini.
Menurut kenyataan polis, Lebuh Raya 90 — jalan paling panjang di Israel dengan anggaran 480 kilometer — ditutup disebabkan limpahan air banjir, lapor Anadolu.
Lebuh raya berkenaan merupakan laluan utama dan penting di Israel, bermula dari Metula di sempadan utara berdekatan Lubnan, merentasi pantai barat Laut Galilea.
Polis turut menutup jalan keluar utara dari Eilat menuju ke Be’er Ora serta menutup sepenuhnya laluan keluar dari bandar itu.
Lebuh Raya 40, lebuh raya kedua terpanjang di negara itu dengan jarak 302 kilometer, turut ditutup kepada semua lalu lintas.
Di bandar Dimona, ribut petir yang kuat turut membawa hujan batu. Menurut Perkhidmatan Meteorologi Israel, keadaan luar biasa ini mencetuskan persoalan kerana jumlah hujan yang dicatatkan adalah biasa seperti tahun lalu.
Namun, hujan lebat berserta angin kencang menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir.
Polis mengumumkan penutupan lebuh raya serta menggesa orang ramai supaya tidak mendekati kawasan terjejas. Penduduk dan pelancong pula dinasihatkan agar membatalkan semua perjalanan.
Hanya beberapa hari sebelum ini, wilayah yang sama telah dilanda kebakaran hutan besar akibat suhu ekstrem dan tiupan angin kencang yang memaksa pemindahan segera ribuan penduduk.
Bagi sebahagian pihak, fenomena alam yang berturut-turut — dari kebakaran besar kepada banjir luar biasa — dilihat sebagai tanda amaran atas kezaliman yang sedang berlaku, penindasan dan pembunuhan berterusan ke atas rakyat Palestin oleh rejim Zionis. – The Merdeka Times
