Connect with us

Terkini

(VIDEO) Ganti pemikiran konsep negara bangsa dengan konsep ummah untuk selesai konflik Gaza

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Penasihat Khas Menteri Luar Negeri, Isu Kemanusiaan dan Pembangunan Semula,  Datuk Ahmad Azam Ab Rahman

KUALA LUMPUR — Konflik yang melanda Gaza tidak akan dapat diselesaikan selagi pemikiran konsep nation state atau negara bangsa terus menjadi pegangan kerana ia menghalang penyatuan umat Islam seluruh dunia.

Penasihat Khas Menteri Luar Negeri, Isu Kemanusiaan dan Pembangunan Semula,  Datuk Ahmad Azam Ab Rahman berkata dalam hal ini sepatutnya konsep negara bangsa dirobohkan dan diganti dengan konsep ummah menjadikan umat Islam sebagai satu ‘badan’ yang berperanan bersama.

Katanya, jika konsep ummah itu dapat difahami dengan baik, maka konflik seperti yang berlaku di Gaza tidak akan terjadi.

Ini kerana menurut beliau peranan tentera pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk tentera Malaysia yang kini bertugas di Lubnan, kebanyakannya terdiri daripada negara-negara Islam seperti Pakistan dan Bangladesh.

“Mengapa kekuatan senjata tersebut (tidak digunakan) untuk hantar mesej, stop the war! berhentikan sekarang kalau tidak kita akan hantar kapal perang di kalangan negara OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), kita akan hantar senjata.

“Ini bagi saya adalah persoalan ujian keimanan dan juga pemikiran ummati itu tak ada lagi, kita masih berfikir konsep nation state ini bukan masalah kita, ini masalah Palestin… Nothing to do with me daripada Saudi ke, Jordan ke, di Mesir, itu the concept nation state yang perlu kita robohkan.

“Kalau itu dapat dilakukan, kita satu ummah, satu badan, maka saya fikir itu akan menyelesaikan banyak masalah nanti,” kata Ahmad Azam.

Beliau berkata demikian dalam episod terbaru podcast Garis Krisis (GK) bertajuk, “Diplomasi dan Kemanusiaan, Malaysia Tidak Selamanya Aman” yang bersiaran di YouTube The Merdeka Times dan dihoskan petugas kemanusiaan, Lila Ruzaini Hussain.

Rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dilapor terpaksa menempuh perjalanan jauh setiap hari demi mendapatkan makanan, di tengah kebuluran berterusan dan perang genosid Israel yang telah berlarutan lebih 19 bulan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Wartawan Anadolu mendokumentasikan perjuangan harian rakyat Palestin yang berjalan dari utara Gaza ke selatan menggunakan Jalan Pantai Al-Rasheed – satu-satunya laluan yang masih boleh digunakan selepas tentera Israel menutup Jalan Salah al-Din – demi mendapatkan makanan untuk diri dan anak-anak mereka.

Mereka terpaksa menggunakan kereta kuda atau tuk-tuk (kenderaan roda tiga) setelah tentera Israel melarang pergerakan kenderaan dan lori di sepanjang jalan pantai itu.

Pengurus Komunikasi Kanan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Jonathan Fowler, memberitahu Anadolu minggu lalu bahawa situasi kemanusiaan di Gaza kini berada pada tahap “paling buruk” sejak serangan Israel bermula pada Oktober 2023. — The Merdeka Times

Author