Connect with us

Terkini

Pendidikan seksual awal usia tidak boleh rangsang nafsu, elak ‘keingintahuan liar’ – Mufti

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd Sukki Othman
  • Pendekatan pendidikan seksual menurut Islam bagi individu, termasuk kanak-kanak dibolehkan, tetapi perlu berlandaskan kepada adab serta nilai agama, dengan penggunaan bahasa yang bersih dan tidak merangsang nafsu.
  • Ia bertujuan melindungi serta mendidik, dan bukannya untuk menimbulkan ‘keingintahuan liar’ atau rasa ingin tahu tidak terkawal.
  • Demikian pandangan Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman yang menjelaskan pendedahan mengenai anggota sulit, sentuhan selamat dan adab pergaulan wajar diberikan kepada kanak-kanak seawal usia lima atau enam tahun.
  • Namun, pendekatannya perlu sesuai menurut acuan agama Islam, bukan mengikut Barat yang lebih bersifat terbuka.
  • Jelasnya, Islam menganjurkan pendidikan seksual secara berperingkat (tadarruj), bermula dengan asas perlindungan diri sejak kecil, sebelum diperluaskan kepada pendidikan hukum-hakam berkaitan akil baligh apabila anak mencapai umur tersebut.

KUALA LUMPUR — Pendekatan pendidikan seksual menurut Islam bagi individu, termasuk kanak-kanak dibolehkan, tetapi perlu berlandaskan kepada adab serta nilai agama, dengan penggunaan bahasa yang bersih dan tidak merangsang nafsu.

Ia bertujuan melindungi serta mendidik, dan bukannya untuk menimbulkan ‘keingintahuan liar’ atau rasa ingin tahu tidak terkawal.

Demikian pandangan Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman yang menjelaskan pendedahan mengenai anggota sulit, sentuhan selamat dan adab pergaulan wajar diberikan kepada kanak-kanak seawal usia lima atau enam tahun.

Namun, pendekatannya perlu sesuai menurut acuan agama Islam, bukan mengikut Barat yang lebih bersifat terbuka.

Jelasnya, Islam menganjurkan pendidikan seksual secara berperingkat (tadarruj), bermula dengan asas perlindungan diri sejak kecil, sebelum diperluaskan kepada pendidikan hukum-hakam berkaitan akil baligh apabila anak mencapai umur tersebut.

“Islam telah menggariskan panduan perkembangan anak mengikut peringkat usia di mana bagi usia bawah tujuh tahun, ditekankan pendidikan tentang adab, aurat, malu, dan adab meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapa, sebagaimana dalam surah An-Nur ayat 58.

“Bagi usia 7 hingga 10 tahun, diperkenalkan lagi soal pemisahan tempat tidur, disiplin solat, dan nilai kesucian diri, sementara bagi usia baligh diberikan pendidikan tentang hukum-hakam bersuci, haid, mimpi basah, dan tanggungjawab pergaulan diperluaskan secara lebih terperinci,” katanya kepada The Merdeka Times.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan pandangan Islam tentang memberi pendidikan seks berkaitan anggota sulit dan sentuhan selamat kepada kanak-kanak seawal usia lima atau enam tahun yang dilaporkan The Merdeka Times.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak Universiti SEGi, Datin Profesor Dr. Mariani Md Nor sebelum ini berpandangan pendidikan seks perlu diperkenalkan kepada kanak-kanak seawal usia lima hingga enam tahun bagi membolehkan mereka memahami perkara asas seperti anggota sulit mereka, perbezaan antara sentuhan selamat dan tidak selamat.

Ia juga berikutan kanak-kanak kini terdedah secara meluas kepada pelbagai kandungan digital dan media sosial di Internet, tanpa kawalan sepatutnya.

Mengulas penggunaan istilah “pendidikan seks”, Mohd Sukki berkata ia perlu diperjelaskan atau ditukar kepada  ungkapan lebih sesuai supaya masyarakat memahami apa yang dimaksudkan adalah bukan berkenaan pendedahan mengenai hubungan seksual secara terperinci.

Sebaliknya, menurut beliau, pendidikan seksual yang dimaksudkan itu lebih kepada pendidikan perlindungan diri selaras maqasid syariah iaitu menjaga maruah dan keturunan (hifz al-nasl).

“Pengenalan kepada konsep anggota sulit (‘awrah) dan sentuhan selamat adalah sebahagian daripada pendidikan adab Islam, yang disebut oleh ulama sebagai ta’dib (pembentukan akhlak).

“Ini penting untuk melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seksual yang kini semakin berleluasa akibat pendedahan tanpa kawalan di media digital.

Islam tidak menganggap pendidikan ini sebagai tabu selagi mana ia disampaikan dalam bentuk mendidik, bukan mendedahkan secara lucah atau terbuka,” kata Mohd Sukki.

Beliau juga mengingatkan tindakan mengelak mendidik anak-anak berkenaan perkara itu kerana takut mereka “meneroka lebih jauh” sebenarnya membuka ruang lebih besar untuk mereka mendapatkan maklumat dari sumber luar yang tidak terkawal dan lebih berbahaya. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *