Terkini
Zayn Rayyan mati dijerut – Doktor pakar

- Berdasarkan jasad si mati jerutan dapat dilihat berdasarkan lebam otot di leher dan kelenjar tiroid.
- “Ini menunjukkan perbuatan itu cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen ke paru-paru dan otak, seterusnya melemaskan si mati hingga mengakibatkan kematian.
- “Terdapat kesan jerutan di leher yang bertindih terletak enam sentimeter di bawah telinga kanan dan kiri termasuk otot-otot leher dan kelenjar tiroid di bawah kesan jerutan ini turut lebam,”- Dr Rohayu Shahar Adnan, Pakar Perubatan Perunding Forensik Jusa C (M), Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pasir Gudang Johor.
PETALING JAYA – Punca kematian kanak-kanak autism, Zayn Rayyan Abdul Matin disebabkan jerutan di leher.
Itu kesimpulan yang dibuat doktor pakar yang membedah siasat mayat Zayn Rayyan sewaktu menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin ketika perbicaraan kes pengabaian mangsa, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30
Pakar Perubatan Perunding Forensik Jusa C (M), Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pasir Gudang Johor, Dr Rohayu Shahar Adnan yang juga saksi pendakwaan ke-27 berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan hasil bedah siasat ketika beliau berkhidmat di Hospital Sungai Buloh, pada jam 12 tengah hari, 7 Disember 2023 lalu.
Dr Rohayu, 54, berkata jerutan di leher mungkin boleh berlaku contohnya menggunakan tali, lanyard atau kain dipintal maka, ia bukan disebabkan mati lemas.
Menurutnya, ia berdasarkan kedutan pada kulit tapak tangan dan kaki hanya menunjukkan sentuhan atau rendaman air, namun ia bukannya punca kematian kerana si mati tidak mati lemas.
“Jika mangsa mati kerana lemas, kesan kematian akan ada tanda-tanda seperti paru-paru mengembang memenuhi rongga toraks, jadi tidak boleh ada kesan jerutan di leher.
“Selepas mendapati tiada kesan-kesan air itu, maka diagnosis mati lemas adalah tidak relevan,” katanya dipetik media Sinar Harian.
Sementara ketika membaca pernyataan saksi, Dr Rohayu, 54, berkata, berdasarkan jasad si mati jerutan dapat dilihat berdasarkan lebam otot di leher dan kelenjar tiroid.
“Ini menunjukkan perbuatan itu cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen ke paru-paru dan otak, seterusnya melemaskan si mati hingga mengakibatkan kematian.
“Terdapat kesan jerutan di leher yang bertindih terletak enam sentimeter di bawah telinga kanan dan kiri termasuk otot-otot leher dan kelenjar tiroid di bawah kesan jerutan ini turut lebam,” katanya.
Beliau berkata, hasil bedah siasat juga mendapati, terdapat kesan trauma tumpul dan tajam.
Selain itu saksi yang berkhidmat dalam bidang perubatan forensik semenjak tahun 2003 berkata, terdapat benda asing ditemui pada rongga pernafasan dan dalam perut Zayn Rayyan.
Menurutnya, lelangit anak sulung kepada pasangan tertuduh itu turut lebam, menunjukkan benda asing terbabit dimasuk secara paksa ke dalam mulut.
Bagaimanapun beliau berkata, benda asing itu tidak membawa kepada kematian kerana punca kematiannya bukan tercekik.
Katanya, di bahagian dubur kanak-kanak malang itu juga terdapat luka-luka koyak dan lelasan akibat kemasukan objek tumpul tetapi ianya tidak mematikan.
“Ada kesan trauma tumpul seperti lebam di mata, dahi, bibir, belakang kepala, rahang, tengkuk, belakang bahu kanan, antara dua belikat, belakang badan, dada, abdomen, sisi kanan badan, lengan kanan serta kiri.
“Ada juga luka potongan, tikaman dan hirisan di telinga kiri sehingga belakang kepala sebelah kiri,” kata saksi ini yang juga pensyarah kehormat Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Beliau berkata, hirisan turut dikesan di belakang kepala sebelah kanan, luka hirisan pada lengan kanan atas dan luka hirisan pada lengan bawah kanan.
Menurutnya, kesan-kesan trauma tumpul dan tajam ini tidak mematikan tetapi merupakan penderaan fizikal ke atas mangsa.
Beliau berkata, kecederaan si mati ialah kecederaan baharu, kerana terdapat kesan reaksi sistem pertahanan badan yang dapat dilihat melalui pemeriksaan mikroskopik.
Kedutan pada kulit tapak tangan dan kaki katanya, hanya menunjukkan sentuhan atau rendaman air, ia bukan punca kematian kerana Zayn Rayyan tidak mati lemas dalam air.
“Jasad si mati telah mula membusuk, berdasarkan warna kulitnya yang kehijauan, mengelupas dan abdomen yang mengembung.
“Tiada luka pertahanan atau luka menumbuk atau menendang dilihat pada mangsa,” katanya yang menambah tiada penyakit serius pada organ dalaman yang ditemui.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian pada anak mereka, di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung Rabu.—The Merdeka Times
