Antarabangsa
(VIDEO) 32 kanak-kanak Muslim di Bihar ditahan kerana pakai kopiah, 12 jam tidak diberi makan minum

BIHAR – Seramai 32 kanak-kanak Muslim yang ditahan di Mokama, Bihar kerana memakai kopiah telah dibebaskan selepas menghabiskan hampir 14 jam dalam tahanan, lapor Siasat.com.
Pembebasan mereka berlaku apabila sebuah video tular di media sosial yang memaparkan pelajar-pelajar itu sedang ditahan, sekaligus mencetuskan kemarahan orang ramai.
Pada awalnya, laporan menyatakan bahawa pihak polis Mokama yang bertanggungjawab, namun siasatan kemudian mengesahkan bahawa Pasukan Perlindungan Keretapi (RPF) yang telah menahan kumpulan pelajar tersebut.
Difahamkan, mereka dalam perjalanan ke Surat, Gujarat untuk menyambung semula pengajian di Madrasah Jamia Zakariya selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.
Setibanya di stesen keretapi Mokama, anggota RPF menyoal kanak-kanak ini mengenai pakaian mereka iaitu kurta dan kopiah serta mengesyaki mereka sebagai pekerja kanak-kanak.
Walaupun pelajar-pelajar itu menunjukkan kad pengenalan sah dan dokumen kemasukan madrasah, serta menjelaskan tujuan mereka adalah untuk kembali menyambung pengajian agama, pihak RPF dilaporkan enggan mempercayai penjelasan mereka dan tetap menahan kanak-kanak yang tidak bersalah ini.
Menurut laporan, pelajar-pelajar tersebut tidak diberi makanan atau air selama lebih 12 jam dalam tahanan.
Video insiden tersebut menjadi tular, mencetuskan bantahan hebat dalam kalangan masyarakat setempat. Sekumpulan penduduk Muslim tempatan segera hadir ke stesen dan menuntut pembebasan mereka, lapor The Observer Post.
“Mereka suruh kami beredar atau berdepan hukuman penjara. Tapi kami tetap bertegas dan berkata kalau kamu tak mahu bebaskan anak-anak ini, tahanlah kami pula,” kata seorang penduduk tempatan bernama Amin.
Akhirnya, para pelajar dibebaskan selepas rundingan dengan pihak berkuasa RPF.
Insiden ini mencetuskan kemarahan meluas, dengan ramai pihak menuduh RPF melakukan profiling berasaskan agama dan menzalimi kanak-kanak yang tidak bersalah.–The Merdeka Times
