Terkini
Tarik lesen penyiaran Sin Chew Daily – MKT UMNO

- Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menggesa supaya lesen penyiaran akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily ditarik serta-merta selepas ia melakukan kesilapan memapar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit (anak bulan) di muka hadapan akhbar tersebut baru-baru ini.
- Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang juga Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata tindakan itu perlu dilakukan sebagai amaran keras kepada mana-mana pihak yang mempermainkan lambang negara, selain tindakan tegas wajar dikenakan terhadap editor yang bertanggungjawab.
- Katanya, tidak masuk akal jika mereka yang bekerja di Sin Chew Daily langsung tidak mengenali rupa sebenar Jalur Gemilang, melainkan mereka sendiri sudah hilang semangat nasionalisme.
KUALA LUMPUR — Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menggesa supaya lesen penyiaran akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily ditarik serta-merta selepas ia melakukan kesilapan memapar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit (anak bulan) di muka hadapan akhbar tersebut baru-baru ini.
Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang juga Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata tindakan itu perlu dilakukan sebagai amaran keras kepada mana-mana pihak yang mempermainkan lambang negara, selain tindakan tegas wajar dikenakan terhadap editor yang bertanggungjawab.
Tegasnya juga bahawa tindakan tidak bertanggungjawab pihak Sin Chew Daily yang menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit sama sekali tidak boleh diterima.
Katanya, tidak masuk akal jika mereka yang bekerja di Sin Chew Daily langsung tidak mengenali rupa sebenar Jalur Gemilang, melainkan mereka sendiri sudah hilang semangat nasionalisme.
“Jalur Gemilang adalah simbol kontrak sosial kita… Di dalamnya tersemat semangat Perlembagaan, kesepakatan kaum dan identiti negara… Hilangnya satu elemen; hilanglah maksud dan makna kebangsaan.
“Bulan sabit yang hilang dari imej tersebut bukan sekadar kesilapan rekaan, ia adalah lambang Islam sebagai agama Persekutuan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Ini bukan soal teknikal semata-mata… Kita sedang menyentuh perkara asas kenegaraan.
“Lebih membimbangkan, insiden ini berlaku dalam suasana politik yang sedang panas, di mana isu 3R sedang dimainkan secara sengaja oleh pihak pembangkang yang tanpa henti menabur fitnah dan dakyah terhadap kerajaan, demi meracuni pemikiran rakyat.
“Maka tindakan seumpama ini tidak boleh dilihat sebagai perkara remeh – ia adalah pengkhianatan terhadap simbol negara. Ini bukan kali pertama dan untuk itu, tiada lagi ruang untuk dimaafkan.
“Satu tindakan tegas wajar dikenakan terhadap editor yang bertanggungjawab dan dicadangkan lesen penyiaran Sin Chew Daily ditarik serta-merta sebagai amaran keras kepada mana-mana pihak yang mempermainkan lambang negara,” kata Razlan menerusi hantaran di Facebook di sini pada Rabu.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Datuk Razlan Muhammad Rafii.
Terdahulu, Sin Chew dalam satu kenyataan memohon maaf atas kesilapan memapar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang diterbit di muka hadapan akhbarnya, dengan menjelaskan bahawa perkara itu berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Kesilapan itu mengundang kritikan netizen, termasuk Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, UIAM, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang mempersoal kesetiaan pihak editor akhbar itu kepada negara serta pakar bahasa dan perpaduan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong yang dilapor menegaskan bahawa permohonan maaf semata-mata tidak memadai bagi kesalahan yang disifatkan amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku itu.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Sin Chew Daily telah diberikan surat tunjuk sebab selepas dipanggil bagi siasatan berhubung isu penyiaran Jalur Gemilang tidak lengkap. KDN memaklumkan siasatan ke atas Sin Chew Daily dilaksanakan serta merta di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Sementara itu, Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh turut mengingatkan bahawa Jalur Gemilang tidak boleh dipermainkan kerana ia bukan sekadar bendera.
Sebaliknya, ia merupakan darah perjuangan, lambang perpaduan dan semangat sebuah negara merdeka. — The Merdeka Times
