Connect with us

Politik

PAS nyata sokongan penuh fatwa kewajiban jihad bebaskan Palestin

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang
  • Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata ketegasan Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu selari dengan pendirian dan seruan PAS yang konsisten dalam isu Palestin, yang menuntut dukungan seluruh umat Islam merentasi perbezaan fahaman dan mazhab melibatkan peranan pemimpin, ulama’ dan masyarakat.
  • “Fatwa ini bukan sahaja menjunjung tinggi prinsip-prinsip Islam yang menuntut keadilan dan pembelaan terhadap umat yang tertindas, malah ia juga merupakan satu seruan yang tegas dan syar’i kepada seluruh dunia Islam untuk bangkit melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

KUALA LUMPUR — PAS menyokong penuh fatwa terkini Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia berhubung situasi tragik di Gaza, termasuk kewajipan berjihad dengan senjata bagi setiap Muslim yang berkemampuan demi membebaskan Palestin daripada penjajahan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata ketegasan Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu selari dengan pendirian dan seruan PAS yang konsisten dalam isu Palestin, yang menuntut dukungan seluruh umat Islam merentasi perbezaan fahaman dan mazhab melibatkan peranan pemimpin, ulama’ dan masyarakat.

“Fatwa ini bukan sahaja menjunjung tinggi prinsip-prinsip Islam yang menuntut keadilan dan pembelaan terhadap umat yang tertindas, malah ia juga merupakan satu seruan yang tegas dan syar’i kepada seluruh dunia Islam untuk bangkit melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.

Antara isi penting fatwa tersebut yang perlu diberikan perhatian serius menurut Abdul Hadi, adalah kewajipan berjihad dengan senjata bagi setiap Muslim berkemampuan demi membebaskan Palestin daripada penjajahan.

Kewajipan campur tangan ketenteraan segera oleh negara-negara Arab dan Islam untuk menghentikan pencerobohan serta mempertahankan rakyat Palestin dan kewajipan berjihad dengan harta untuk membantu saudara kita di Gaza serta mendesak pembukaan laluan sempadan untuk bantuan kemanusiaan.

Fatwa itu turut mengharamkan tindakan membekal minyak dan gas kepada pihak penjajah yang menindas rakyat Palestin serta sebarang jalinan normalisasi dengan zionis yang merampas hak dan maruah umat Islam.

“PAS menyeru seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia untuk bersama-sama menginsafi dan menghayati isi kandungan fatwa ini, serta memperkasakan usaha membantu saudara kita di Palestin melalui doa, sumbangan, pendidikan dan apa jua cara yang termampu.

“Kita tidak boleh lagi berdiam diri atau sekadar menjadi pemerhati kepada kezaliman yang berlaku. Ini adalah medan ujian bagi keimanan dan maruah umat Islam seluruhnya,” katanya.

Sejak serangan ketenteraan Israel bermula pada Oktober 2023, lebih 50,000 rakyat Palestin dilaporkan terkorban.

Serangan disambung semula pada Mac lalu selepas gencatan senjata hampir dua bulan.

Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan bahawa Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bekalan bantuan kemanusiaan di Genting Gaza semakin berkurangan ke tahap berbahaya, dengan situasi di wilayah itu semakin merosot dengan cepat, dan menggesa sekatan Israel ditamatkan segera bagi membolehkan bantuan disalurkan. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *