Terkini
Muzakarah MKI akan teliti fatwa ulama sedunia berkaitan pencerobohan Israel ke atas Gaza

- Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata perbincangan itu akan dianjurkan JAKIM bagi meneliti fatwa tersebut secara mendalam dan menyeluruh.
- “Saya juga telah meminta agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk mengadakan libat urus bersama para agamawan dan pertubuhan-pertubuhan Islam bagi membincangkan implikasi fatwa tersebut dari pelbagai sudut, demi menjaga kepentingan serta kesejahteraan negara dan umat Islam, khususnya saudara kita di Gaza,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
- Antara intipati utama fatwa itu adalah kewajipan jihad bersenjata terhadap penjajah di Palestin bagi setiap Muslim yang mampu di dunia Islam, kewajipan campur tangan ketenteraan segera oleh negara-negara Arab dan Islam dan kewajipan berjihad dengan harta untuk membantu saudara kita di Gaza dan mempercepatkan pembukaan laluan bantuan.
KUALA LUMPUR — Perbincangan khas Muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan (MKI) akan diadakan segera bagi meneliti fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkaitan isu pencerobohan Israel ke atas Gaza, Palestin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata perbincangan itu akan dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi meneliti fatwa tersebut secara mendalam dan menyeluruh.
“Saya juga telah meminta agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk mengadakan libat urus bersama para agamawan dan pertubuhan-pertubuhan Islam bagi membincangkan implikasi fatwa tersebut dari pelbagai sudut, demi menjaga kepentingan serta kesejahteraan negara dan umat Islam, khususnya saudara kita di Gaza.
“Agensi-agensi di bawah portfolio saya juga akan terus komited melaksanakan pelbagai usaha bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan, termasuk melalui Tabung Kemanusiaan Palestin yang telah ditubuhkan, untuk meringankan beban kehidupan rakyat Gaza yang sedang diuji.
“Kita semua memikul tanggungjawab bersama untuk terus menyuarakan sokongan, menzahirkan solidariti dan mendoakan kemenangan buat rakyat Palestin yang sedang dizalimi. Semoga segala usaha ini menjadi asbab kepada kebebasan dan keamanan hakiki buat bumi Gaza,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Dunia Palestin sebelum ini melaporkan bahawa Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia telah mengeluarkan fatwa berhubung kesinambungan serangan ke atas Gaza dan pelanggaran gencatan senjata oleh rejim penjajah Israel.
Antara intipati utama fatwa itu adalah kewajipan jihad bersenjata terhadap penjajah di Palestin bagi setiap Muslim yang mampu di dunia Islam, kewajipan campur tangan ketenteraan segera oleh negara-negara Arab dan Islam dan kewajipan berjihad dengan harta untuk membantu saudara kita di Gaza dan mempercepatkan pembukaan laluan bantuan. — The Merdeka Times
