Antarabangsa
Meta upah lebih 100 bekas askar dan perisik Israel – Laporan

- Laporan The Gray Zone menyatakan bahawa ramai daripada mereka kini memegang jawatan penting dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di Meta.
- Selain latar belakang pekerja, Meta turut dipersoal berhubung kemungkinan perkongsian data dengan tentera Israel, termasuk akses kepada maklumat pengguna WhatsApp, yang mencetuskan kebimbangan terhadap pelanggaran hak asasi dan potensi jenayah perang.
- Pemerhati hak digital menyeru siasatan bebas terhadap hubungan antara Meta dan entiti ketenteraan Israel serta ketelusan dalam pengendalian data dan penggunaan teknologi AI.
Sebuah laporan mendedahkan bahawa syarikat teknologi gergasi, Meta, telah mengupah lebih 100 bekas anggota tentera dan perisik Israel, termasuk individu yang pernah berkhidmat dalam Unit 8200 – unit risikan elit Israel.
Laporan The Gray Zone menyatakan bahawa ramai daripada mereka kini memegang jawatan penting dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di Meta. Ini termasuk Shira Anderson, ketua dasar AI Meta, yang merupakan bekas sukarelawan tentera Israel melalui program Garin Tzabar.
Anderson dilaporkan pernah menulis laporan propaganda dan kini bertanggungjawab dalam membentuk dasar AI syarikat tersebut.
Pendedahan ini menimbulkan kebimbangan terhadap potensi penyalahgunaan teknologi AI bagi menekan suara pro-Palestin, terutama ketika serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza masih berterusan.
Unit 8200 sebelum ini dikaitkan dengan kegiatan pemantauan digital dan didakwa menyusup masuk ke dalam kumpulan WhatsApp untuk mengesan individu yang disyaki, sekalipun tanpa bukti kukuh.
Selain latar belakang pekerja, Meta turut dipersoal berhubung kemungkinan perkongsian data dengan tentera Israel, termasuk akses kepada maklumat pengguna WhatsApp, yang mencetuskan kebimbangan terhadap pelanggaran hak asasi dan potensi jenayah perang.
Pemerhati hak digital menyeru siasatan bebas terhadap hubungan antara Meta dan entiti ketenteraan Israel serta ketelusan dalam pengendalian data dan penggunaan teknologi AI. –The Merdeka Times
