Terkini
LZS catat kutipan zakat cecah RM1.22 bilion pada 2024

- Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata daripada jumlah itu, RM1.19 bilion telah diagihkan kepada lebih 370,000 penerima zakat asnaf di seluruh Selangor.
- “Daripada jumlah ini, kategori asnaf fakir dan miskin menerima agihan tertinggi berjumlah RM707 juta, iaitu 60 peratus daripada jumlah keseluruhan agihan zakat, yang mencerminkan fokus berterusan LZS terhadap kelompok paling memerlukan di Selangor,” katanya demikian pada sidang media pengumuman prestasi kutipan dan agihan zakat di Menara Zakat Sultan Idris Shah di Shah Alam hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.
SHAH ALAM — Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengumumkan pencapaian positif pada tahun 2024 apabila mencatat kutipan zakat tertinggi dalam sejarah penubuhan iaitu mencecah RM1.22 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata daripada jumlah itu, RM1.19 bilion telah diagihkan kepada lebih 370,000 penerima zakat asnaf di seluruh Selangor.
“Sepanjang tahun 2024, LZS menyalurkan zakat kepada lapan kategori asnaf iaitu peningkatan tiga peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM1.15 bilion.
“Daripada jumlah ini, kategori asnaf fakir dan miskin menerima agihan tertinggi berjumlah RM707 juta, iaitu 60 peratus daripada jumlah keseluruhan agihan zakat, yang mencerminkan fokus berterusan LZS terhadap kelompok paling memerlukan di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman prestasi kutipan dan agihan zakat di Menara Zakat Sultan Idris Shah di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.
Mohd Khaidzir berkata agihan zakat sepanjang 2024 menyantuni lebih 77,800 keluarga fakir dan miskin, peningkatan 19 peratus berbanding tahun 2023.
Beliau berkata zakat pendapatan kekal sebagai penyumbang utama mengikut jenis zakat berjumlah RM712 juta atau 58 peratus daripada keseluruhan kutipan, diikuti zakat perniagaan (RM199 juta), zakat simpanan (RM130 juta), zakat harta (RM70 juta) dan zakat fitrah (RM41 juta).
“Potongan gaji terus menjadi saluran pembayaran tertinggi dengan kutipan RM546 juta (45 peratus), manakala saluran debit terus mencatatkan pertumbuhan tertinggi antara semua saluran kutipan, dengan peningkatan 60 peratus tahun ke tahun, berjumlah RM1.4 juta.
“Lonjakan ini menggambarkan kesediaan pembayar zakat untuk beralih kepada kaedah yang lebih konsisten dan mudah,” katanya.
Selain itu, Mohd Khaidzir berkata daripada jumlah keseluruhan agihan zakat, RM780 juta disalurkan untuk pembangunan sosial termasuk bantuan kewangan bulanan, sewaan rumah, pembinaan dan baik pulih kediaman serta rawatan perubatan kritikal dan dialisis.
Beliau berkata LZS juga percaya bahawa pendidikan mampu membuka lebih banyak peluang untuk keluarga asnaf membina masa depan lebih baik.
“Untuk itu, RM194 juta disalurkan di bawah Program Pembangunan Pendidikan, melibatkan peningkatan 13 peratus berbanding tahun lepas. Ia selaras dengan pertambahan penyertaan generasi kedua asnaf ke peringkat pengajian tinggi dan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata LZS menyasarkan RM1.328 bilion kutipan zakat tahun ini, manakala kira-kira RM2 bilion menjelang 2030.
Pada majlis sama, LZS turut melancarkan Laporan Kelestarian 2024 (Edisi Kedua) bertemakan ‘Memperkasa Kehidupan’ yang dibangunkan berasaskan rangka kerja Inisiatif Pelaporan Global (GRI) dan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Mohd Khaidzir berkata edisi terbaharu itu menzahirkan komitmen berterusan LZS dalam menerapkan nilai kelestarian di sepanjang rantaian operasi melalui pelbagai inisiatif seperti penggunaan tenaga boleh diperbaharui, perolehan mampan, keselamatan makanan serta penjanaan pendapatan jangka panjang kepada komuniti asnaf. — BERNAMA
