Terkini
Kes buli MRSM: Tujuh pelajar terlibat buli akan ditamatkan pengajian

- Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu berdasarkan syor dibuat Jawatankuasa Disiplin maktab.
- Asyraf Wajdi tidak bersetuju untuk diberikan peluang kedua kepada pelajar terlibat kerana sejak awal diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, sudah berulang kali beliau mengingatkan dan menegaskan prinsip beliau adalah #YouTouchYouGo.
- “Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
KUALA LUMPUR — Tujuh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang didapati terbabit buli fizikal, termasuk lima pelajar didapati bersubahat dengan perbuatan itu akan ditamatkan pengajian.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu berdasarkan syor dibuat Jawatankuasa Disiplin maktab.
Asyraf Wajdi berkata beliau tidak bersetuju untuk diberikan peluang kedua kepada pelajar terlibat kerana sejak awal diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, sudah berulang kali beliau mengingatkan dan menegaskan prinsip beliau adalah #YouTouchYouGo.
“Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM.
“Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam BULI, tindakan tegas dan keras akan diambil.
“Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau semalam mengesahkan berlaku insiden buli di sebuah MRSM di utara tanah air susulan tular video berdurasi satu minit 31 saat yang memaparkan beberapa pelajar didakwa menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain di atas katil.
Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada punggung, namun tidak dapat dipastikan ia cuma suatu gurauan atau perbuatan buli.
Sementara itu, awal pagi tadi BERNAMA melaporkan polis membuka satu kertas siasatan berhubung insiden buli melibatkan sekumpulan pelajar MRSM di Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata pihaknya telah mengambil tindakan proaktif selepas video kejadian itu tular di media sosial dengan mengesan institusi serta kesemua individu yang terlibat bagi mendapatkan keterangan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebaban kecederaan.
Sebelum ini, polis mengesahkan video membabitkan seorang pelajar dibuli rakan-rakannya yang tular itu berlaku di sebuah MRSM di daerah SPS pada pertengahan tahun lalu. — The Merdeka Times
