Antarabangsa
Jordan usir 100 rakyat Palestin dari kem pelarian, roboh 25 rumah

- Human Rights Watch (HRW) melaporkan Perbandaran Amman Raya (GAM) Jordan telah merobohkan 25 buah rumah yang menempatkan sekurang-kurangnya 101 orang serta beberapa kedai di kem al-Mahatta di ibu negara, November dan Disember tahun lalu.
- Organisasi kemanusiaan itu menyatakan bahawa individu yang diusir tidak diberi konsultasi yang mencukupi, notis awal, pampasan, atau bantuan penempatan semula sewajarnya ketika pihak berkuasa membersihkan kawasan untuk melaksanakan projek perancangan bandar.
- “Memindahkan keluarga dan mengganggu sumber pendapatan mereka tanpa perlindungan yang mencukupi dan pampasan yang adil menyebabkan puluhan orang kehilangan tempat untuk mendapatkan bantuan,” kata Adam Coogle, Timbalan Pengarah HRW untuk Timur Tengah.
AMMAN – Pihak berkuasa Jordan didakwa telah “mengusir secara paksa” kira-kira 100 orang dari sebuah kem pelarian tidak rasmi yang menempatkan rakyat Palestin yang dipindahkan.
Human Rights Watch (HRW) melaporkan Perbandaran Amman Raya (GAM) Jordan telah merobohkan 25 buah rumah yang menempatkan sekurang-kurangnya 101 orang serta beberapa kedai di kem al-Mahatta di ibu negara, November dan Disember tahun lalu.
Organisasi kemanusiaan itu menyatakan bahawa individu yang diusir tidak diberi konsultasi yang mencukupi, notis awal, pampasan, atau bantuan penempatan semula sewajarnya ketika pihak berkuasa membersihkan kawasan untuk melaksanakan projek perancangan bandar.
“Memindahkan keluarga dan mengganggu sumber pendapatan mereka tanpa perlindungan yang mencukupi dan pampasan yang adil menyebabkan puluhan orang kehilangan tempat untuk mendapatkan bantuan,” kata Adam Coogle, Timbalan Pengarah HRW untuk Timur Tengah yang dilaporkan Aljazeera.
Kem al-Mahatta, yang dikatakan menempatkan kira-kira 8,000 orang daripada keluarga Palestin yang dipindahkan akibat Nakba pada tahun 1948, tidak diiktiraf sebagai kem pelarian oleh kerajaan Jordan.
Pihak berkuasa bandar raya itu menyatakan pada bulan Disember bahawa “Pelan Strategik” empat tahun GAM sehingga tahun 2026 merangkumi penambahbaikan trafik, penambahan ruang hijau, dan pengurangan kepadatan penduduk di penempatan tidak rasmi.
Puluhan penduduk yang kini kehilangan tempat tinggal mendakwa mereka ditinggalkan dalam keadaan terdesak, dan mengatakan bahawa mereka hanya diberi notis antara “dua minggu hingga sebulan” untuk mengosongkan kediaman masing-masing.
Mereka juga diberi janji lisan yang samar-samar tentang pampasan sebanyak 80 dinar Jordan [AS$113] setiap meter persegi, tanpa mengetahui proses atau jangka masa pemberian pampasan.
Datuk Bandar Amman, Yousef al-Shawarbeh, yang menyatakan bahawa rakyat Palestin yang dipindahkan itu tidak layak menerima pampasan dan menjelaskan bahawa mereka sebaliknya ditawarkan satu bentuk derma.
Tindakan meroboh rumah dan kedai di al-Mahatta ini dijalankan walaupun terdapat janji rasmi daripada bekas Perdana Menteri, Omar Razzaz pada tahun 2019 untuk melindungi kediaman penduduk selepas cubaan pengusiran terdahulu pada tahun 2017. – The Merdeka Times
