Terkini
Isu nama KTMB: Istilah ‘Tanah Melayu’ masih diguna dalam Perlembagaan, Tidak ketinggalan zaman – Peguam

- Ini kerana menurut Aidil Khalid setakat pengetahuan beliau KTMB hanya beroperasi di negeri-negeri Tanah Melayu, dan tidak beroperasi di Sabah atau Sarawak.
- Istilah negeri-negeri Tanah Melayu juga masih sah dan terpakai hingga ke hari ini, bahkan itulah terma yang diguna dalam Perlembagaan Persekutuan bagi merujuk kepada negeri Perlis hingga ke Johor.
- “Justeru berdasarkan kepada yang diperihalkan di atas, bila KTMB respon kepada soalan wartawan sama ada KTMB akan tukar namanya, memandangkan negara kita kononnya sudah tidak lagi menggunakan nama Tanah Melayu. Soalan itu sendiri sebenarnya bermasalah.
- “Dalam masa sama, jawapan KTMB pun tak berapa tepat, apabila mengatakan mereka akan mengekalkan istilah Tanah Melayu atas sebab heritage atau warisan,” – Aidil.
- Ini kerana terma Tanah Melayu bukan semata-mata istilah warisan, sebaliknya ia istilah realiti semasa dan Perlembagaan bagi merujuk kepada wilayah negeri-negeri Tanah Melayu di mana rel-rel dan gerabak KTMB beroperasi.
KUALA LUMPUR — Susulan cadangan supaya Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menukar nama syarikat itu, seorang peguam tampil mempertahankan nama tersebut dengan menegaskan istilah Keretapi Tanah Melayu yang merujuk kepada KTMB tidak ‘outdated’ atau ketinggalan zaman.
Ini kerana menurut Aidil Khalid setakat pengetahuan beliau KTMB hanya beroperasi di negeri-negeri Tanah Melayu, dan tidak beroperasi di Sabah atau Sarawak.
Jelas beliau lagi istilah negeri-negeri Tanah Melayu juga masih sah dan terpakai hingga ke hari ini, bahkan itulah terma yang diguna dalam Perlembagaan Persekutuan bagi merujuk kepada negeri Perlis hingga ke Johor.
“Inilah takrif yang diperuntukkan di bawah Perkara 121(1)(a) Perlembagaan Persekutuan; dan inilah juga istilah yang diperakui di bawah Perjanjian Malaysia.
“Bukan Malaysia Barat, bukan Semenanjung Malaysia, tetapi TANAH MELAYU,” katanya menerusi hantaran di Facebook yang turut berkongsi pautan ke artikel tempatan berbahasa Inggeris bertajuk, “No longer ‘keretapi’, no longer ‘Tanah Melayu’? KTMB dismisses call to ‘modernise’ name, points to heritage value”.
Tambah beliau, penggunaan istilah itu boleh dirujuk dalam Perlembagaan Persekutuan antaranya terkait Perkara 8(5)(c) yang menggunakan istilah “Orang Asli Semenanjung TANAH MELAYU”; Perkara 9(c) menggunakan “Negeri-Negeri TANAH MELAYU” serta Perkara 121(1)(a) – Institusi Kehakiman di “Negeri-Negeri TANAH MELAYU”.
“Justeru berdasarkan kepada yang diperihalkan di atas, bila KTMB respon kepada soalan wartawan sama ada KTMB akan tukar namanya, memandangkan negara kita kononnya sudah tidak lagi menggunakan nama Tanah Melayu. Soalan itu sendiri sebenarnya bermasalah.
“Dalam masa sama, jawapan KTMB pun tak berapa tepat, apabila mengatakan mereka akan mengekalkan istilah Tanah Melayu atas sebab heritage atau warisan,” kata Aidil.
Tegasnya, ini kerana terma Tanah Melayu bukan semata-mata istilah warisan, sebaliknya ia istilah realiti semasa dan Perlembagaan bagi merujuk kepada wilayah negeri-negeri Tanah Melayu di mana rel-rel dan gerabak KTMB beroperasi.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Aidil Khalid.
Aidil difahamkan berkata demikian bagi mengulas artikel bertajuk, “No longer ‘keretapi’, no longer ‘Tanah Melayu’? KTMB dismisses call to ‘modernise’ name, points to heritage value” yang diterbit Malay Mail semalam.
Kandungan artikel itu antaranya menyatakan pengendali perkhidmatan kereta api KTMB dilapor berkata pihaknya tidak bercadang menukar nama syarikat itu, walaupun terdapat cadangan yang menginginkan penukaran tersebut.
Kenyataan itu dikeluar selepas seorang bekas wartawan mencadangkan pertukaran nama itu — dengan menekankan istilah “keretapi” merujuk kepada tren lama, manakala negara ini pula tidak lagi dikenali sebagai “Tanah Melayu”.
Menurut laporan Free Malaysia Today, KTMB memberikan kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap surat bekas editor sukan, Johnson Fernandez yang mencadangkan syarikat kereta api tersebut menukar nama agar lebih selari perkembangan semasa.— The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login