Terkini
Budaya intimidasi SKMM sangat membimbangkan, tunjuk pihak kerajaan ‘insecure’ – Peguam

- Kritikan itu disuarakan Aidil Khalid susulan beliau dimaklumkan bahawa hantaran Facebook seorang arkitek yang berkongsi pengalamannya sebagai Project Director sewaktu pengubahsuaian salah satu Tower Head Menara KL, telah menyebabkan MCMC mengeluarkan notis kepada individu berkenaan.
- Notis dikeluarkan adalah di bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) iaitu notis arahan kehadiran di mana sekiranya individu tersebut tidak hadir, maka waran tangkap akan dikeluarkan, sedangkan kalau diteliti hantaran berkenaan adalah semata-mata perkongsian pengalamannya terlibat dalam projek Menara KL.
- Hantaran itu dilihat tiada unsur mengutuk, mengeji, hasutan mahupun kebencian kepada mana-mana kaum atau agama.
- “Apa pun sekali alasannya, budaya intimidasi dan menakut-nakutkan oleh MCMC seperti ini (the culture of fear and intimidation) adalah sesuatu yang sangat-sangat membimbangkan. Ia membayangkan bahawa mereka yang duduk dalam kerajaan pada hari ini berasa sangat-sangat rapuh (insecure) dengan kedudukan mereka sendiri.” – Aidil Khalid
KUALA LUMPUR — Seorang peguam mengkritik budaya intimidasi dan menakut-nakutkan dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang disifatkan sebagai sangat membimbangkan.
Kritikan itu disuarakan Aidil Khalid susulan beliau dimaklumkan bahawa hantaran Facebook seorang arkitek yang berkongsi pengalamannya sebagai Project Director sewaktu pengubahsuaian salah satu Tower Head Menara KL, telah menyebabkan SKMM mengeluarkan notis kepada individu berkenaan.

Foto: Gambar dimuat naik Aidil Khalid dalam hantaran Facebook beliau.
Menurut Aidil, notis dikeluarkan kepada individu terbabit adalah di bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) iaitu notis arahan kehadiran di mana sekiranya individu tersebut tidak hadir, maka waran tangkap akan dikeluarkan, sedangkan kalau diteliti hantaran berkenaan adalah semata-mata perkongsian pengalamannya terlibat dalam projek Menara KL.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook arkitek terbabit yang link-nya dikongsikan Aidil.
Berkongsi pautan ke hantaran Facebook arkitek terbabit, beliau berkata hantaran itu dilihat tiada unsur mengutuk, mengeji, hasutan mahupun kebencian kepada mana-mana kaum atau agama.
Justeru, situasi itu menimbulkan persoalan dipihak Aidil tentang mengapa Kerajaan Madani ketika ini begitu takut dengan hantaran-hantaran sedemikian.
“Adakah hanya disebabkan beliau berkongsi pengalaman tentang bagaimana Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd telah sebelum ini memberikan peluang kepada syarikat-syarikat bumiputera untuk terlibat dalam penyelenggaraan Menara KL, maka ianya dianggap sebagai satu posting yang mengancam dasar Kerajaan Madani? Memandangkan Kerajaan Madani menamatkan kontrak Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd untuk digantikan dengan syarikat yang dipegang sebahagian besarnya Lim Seong Hai Resources?

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook arkitek terbabit yang link-nya dikongsikan Aidil.
“Atau adakah disebabkan ia menceritakan dalam tempoh pengendalian oleh syarikat-syarikat bumiptera itu, Dato’ Hamid mengarahkan agar arak tidak lagi dijual di Restoran berputar, maka ia juga mengancam dasar Madani? Atau adakah kerana arkitek tersebut menceritakan sebelum Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) mengambil alih pengurusan pada November 2022, tiada surau yang diperuntukkan di Tower Head 03, dan hanya selepas itu surau dimuatkan untuk lelaki dan perempuan — adakah ini juga menyebabkan Kerajaan Madani rasa tak selesa punggung?
“Apa pun sekali alasannya, budaya intimidasi dan menakut-nakutkan oleh MCMC seperti ini (the culture of fear and intimidation) adalah sesuatu yang sangat-sangat membimbangkan. Ia membayangkan bahawa mereka yang duduk dalam kerajaan pada hari ini berasa sangat-sangat rapuh (insecure) dengan kedudukan mereka sendiri.
“Bagi setiap kerajaan yang insecure, bayang-bayang sendiri pun dirasakannya sebagai musuh yang sedang mengancamnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Aidil Khalid.
Aidil berkata dalam hal ini arkitek terbabit bernasib baik kerana seorang profesional dan kini duduk di luar negara, serta mempunyai ramai kenalan peguam dan profesional lain yang tidak memudahkan beliau untuk dibuli.
Namun situasi itu dilihat berbeza sekiranya, tindakan mengeluarkan notis-notis sedemikian dilakukan ke atas rakyat marhaen yang sekadar ingin berkongsi kisah dan pengalaman, di mana beliau melihat ia akan memberikan natijah menakut-nakutkan serta menggertak orang ramai supaya tidak lagi berani menyatakan yang benar.
“Adakah ini yang diinginkan oleh kerajaan madani: membudayakan kekangan, memperbanyak intimidasi serta menyemai ketakutan?” katanya yang turut berkongsikan beberapa pautan ke hantaran Facebook yang lain.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Mohd Fadli Salleh.
Sementara itu, pempengaruh yang juga bekas guru, Mohd Fadli Salleh dilihat turut mengkritik tindakan pegawai SKMM yang menghubungi dan menghantar waran hadir sesi siasatan pada jam 10 malam kepada Faiq Khalifa, sedangkan hantaran Facebook Faiq tidak mempunyai sebarang unsur provokasi, hentam kerajaan mahupun memburukkan mana-mana pemimpin.
Sebaliknya, hantaran Facebook Faiq itu menurut Mohd Fadli hanya berkenaan pengalaman beliau dengan KL Tower yang dikongsikan secara jujur dan telus.
Tambah beliau, walaupun sudah diberitahu oleh Faiq bahawa beliau kini berada di luar negara, dua orang pegawai SKMM ditemani seorang anggota polis didakwa tetap bertindak ke rumah ibu kepada Faiq.
“Dah jelas dia bagitahu dia tiada dalam negara, namun 2 pegawai MCMC ditemani seorang anggota polis datang ke rumah mak dia. Ibu tua yang tak tahu apa-apa dengan adik perempuan debor la juga tiba-tiba polis dan pegawai MCMC datang ni.
“Dah kenapa pergi ke rumah mak Faiq? Kan dia dah bagitahu dia ada di luar negara? Ada tak MCMC pergi ke rumah keluarga penghina Nabi Muhammad SAW yang duduk luar negara tu?
“Entahlah. Makin pelik dah game depa ni. Betul-betul guna semua kekuatan yang ada untuk menekan. Sedangkan depa ni dulu yang berguling kan? Post neutral cerita pengalaman pun depa angkut habis dah ni. Rakyat memerhati… Tunggu lah masanya akan tiba,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu lalu.
Dalam hantaran berbeza hari ini, Mohd Fadli turut membangkitkan beberapa persoalan kepada para pegawai MCMC.
Antara persoalan dibangkitkan adalah sama ada pihak MCMC telah menyiasat laporan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu penghinaan terhadap Islam, Nabi dan Al-Quran yang tular sebelum ini, adakah semua pemilik akaun yang menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW telah diserahkan waran dan adakah mereka dipanggil untuk mengambil keterangan pada jam 10 malam sebagaimana dilalui Faiq.
“Adakah pihak tuan pergi ke rumah mak ayah mereka untuk cari mereka? Walau alamat ic mereka berbeza, tuan ke rumah mak ayah mereka macam buat kat Faiq ke? Adakah pihak tuan cari mereka serta merta (Kurang 5 hari dari post dimuat naik) seperti kes Faiq, saya dan beberapa yang lain lagi?
“Adakah jam 9 malam pun tuan pergi gegar mereka lagi hantar waran sepertimana tuan gegar saya jam 9 malam nak serah waran hari tu? Adakah phone mereka turut dirampas? Apakah tindakan susulan pada mereka?
“Jika jawapannya ‘Dah dipanggil, dah diberi waran, dan disiasat, dah ada tindakan, mohon sangat-sangat sertakan bukti bergambar, video, bukti waran dan seumpamanya. Saya bertanya sahaja. Jangan hantar waran lagi kat saya tau,” kata Mohd Fadli menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Mohd Fadli Salleh.
Pada 28 Mac lalu, media melaporkan Hydroshoppe Sdn Bhd, bersama anak syarikatnya, MKLSB memfailkan saman ke atas kerajaan dan beberapa pihak lain untuk menuntut ganti rugi lebih RM1 bilion.
Mereka membuat tuntutan itu susulan dakwaan penamatan perjanjian mereka secara salah pada November 2022, termasuk lanjutan konsesi syarikat daripada 15 tahun kepada 30 tahun.
Ia berikutan keputusan kerajaan pada Mei tahun lalu untuk menganugerahkan konsesi pengurusan menara itu kepada entiti lain, iaitu LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM). — The Merdeka Times
