Terkini
(VIDEO) Akta PSB: Salahkah baik pulih bangunan usang? – Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa

KUALA LUMPUR — Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan dakwaan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) untuk ‘scam’ membantu pemaju, mahupun ‘scam’ rakyat.
Sebaliknya, menurut Datuk TPr Dr Alias Rameli dengan akta itu pihaknya ingin memastikan sesebuah kediaman itu berada dalam keadaan kondusif, saiz rumahnya jauh lebih besar daripada dulu dan mempunyai infrastruktur lebih baik serta ada kemudahan rekreasi.
Beliau berkata sekiranya usaha pembangunan semula rumah dan bangunan itu perlu menunggu 100 persetujuan pemilik terlebih dahulu, ia akan menimbulkan pelbagai masalah.
“Salahkah kami penjawat awam berfikir sebegini, merancang ikhtiar sebegini yang memfokuskan dulu kepada kediaman-kediaman usang, khususnya di kawasan bandar?
“Kita nak address isu berkaitan rumah dan bangunan usang di mana bila sebutkan tadi, (kena tunggu) 100 peratus dapat persetujuan (dulu) that berdepan dengan pelbagai masalah…. Satu tak setuju, (manakala) 99 orang pula setuju…Tak bolehlah.
“Saya dua tiga hari lepas bersama Ahli Parlimen… Dia kata tempat dia, ada empat pihak tidak bersetuju…Tak setuju macam mana (banyak keadaan dia)? Mungkin datang daripada (pemilik) yang meninggal, ada menunggu proses faraid dan ada yang mungkin bapa telah meninggal.
“Tetapi ada juga yang tidak meninggalkan kesan, mungkin mereka dulu duduk rumah murah, sekarang dah berjaya, mungkin ke luar negara apa semua dan tak dapat dikesan langsung.
“Jadi kalau kita nak menunggu orang yang tak dikesan ni sampai ke peringkat bahasa kasarnya sampai ke penghujung hayat ataupun sampai akhirat kut orang panggil jadi tak bolehlah… Jadi kita harus ada satu rasional,” kata Alias.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel di episod terbaru program Analisis Bersama Finaz Yunus bertajuk, “Akta PSB: Untungkan rakyat atau ‘scam’ tolong pemaju”.
Program terbitan Studio Merdeka itu yang bersiaran di YouTube The Merdeka Times di sini hari ini turut menampilkan Ketua Jabatan Penyelidikan IRIS Institute, Mohd Zul Fahmi Md Bahrudin.
Mengulas lanjut, Alias berkata berdasarkan kajian perbandingan dengan negara lain seperti negara-negara Barat, Korea Selatan dan China, didapati Malaysia perlu mempunyai ‘consensus threshold’ atau ambang persetujuan yang rasional.
“Bila kita letak katakan usia bangunan tadi lebih daripada 30 tahun, 75 peratus (beri persetujuan)… Jadi lebih kurang, harapan kita (persetujuan diberikan) melebihi 75 persetujuan.
“Tapi kalau kata hanya dapat 70 peratus, lebih baik di peringkat kerajaan kita tidak akan moderate-lah… Dia akan menimbulkan kesan kepada kerajaan jadi, dapat 75 peratus dulu, baru bertemu dengan pihak kerajaan… Itu yang asal kita, jadi bukan kita paksa pun… Kerajaan tidak ada elemen memaksa,” katanya. — The Merdeka Times
